Sorting by

×

Tarikh baharu pilihan raya DUN Tioman ditetapkan pada 7 Dis

Masa Membaca:2 Minit, 41 Saat

PUTRAJAYA, 19 Nov – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang yang tidak berlangsung hari ini berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi tadi, akan diadakan pada 7 Dis ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan hari ini berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 24 Nov, manakala hari mengundi awal pada 3 Dis.

Beliau berkata SPR menerima Writ Pilihan Raya yang dikembalikan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Rompin hari ini berhubung kematian calon PN berkenaan.

“Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 Nov hingga pukul 11.59 malam, 6 Dis,” katanya.

Ini bermakna, PRU15 bagi DUN Tioman diadakan serentak dengan Parlimen Padang Serai susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) M. Karupaiya yang juga penyandang kerusi itu, pada Rabu lepas.

agi hari penamaan calon PRU15 DUN Tioman itu, Abdul Ghani berkata calon-calon yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon (PPC) bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.

Bakal calon baharu yang ingin bertanding pula hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus oleh calon, penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan di PPC yang ditetapkan SPR.

Menurut Abdul Ghani, urusan permohonan undi pos dibuka bermula hari ini dan ditutup pada 22 Nov.

Katanya, permohonan undi pos bagi Kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera, dan petugas media), hendaklah dibuat secara manual menggunakan Borang 1A yang dimuat turun daripada portal rasmi SPR menerusi https://www.spr.gov.my, dan dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Parlimen Rompin.

Permohonan undi pos kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C agensi/organisasi) pula dilaksanakan secara dalam talian.

Abdul Ghani berkata SPR melantik Pegawai Daerah Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek sebagai pegawai pengurus pilihan raya, manakala Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin akan digunakan sebagai PPC dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU).

Seramai 429 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 DUN Tioman itu di 17 pusat mengundi biasa yang mengandungi 52 tempat mengundi (saluran) dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi dua saluran awal.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 19 buah dengan 54 tempat mengundi (saluran). PRU15 Bahagian Pilihan Raya DUN Tioman ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3 juta,” katanya.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk pilihan raya itu mengandungi seramai 28,465 pemilih yang terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. DPPR itu dijadualkan mula dijual pada 23 Nov.

Md Yunus, 61, meninggal dunia pada kira-kira 3.30 pagi tadi di Hospital Rompin, dan menyebabkan SPR Pahang memaklumkan proses pengundian bagi kerusi DUN berkenaan sempena PRU15 hari ini, ditangguh.

Pada PRU15, DUN Tioman sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

Md Yunus yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman, pernah bertanding di kerusi sama pada PRU14.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1967
Kongsi :
Previous post Lelaki ditahan bantu siasatan dera isteri
Next post Hampir 42 peratus pengundi di Melaka tunai tanggungjawab
Ubah saiz-+=