Sorting by

×

Muhammad Jailani tampil beri penjelasan isu Disneyland

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 18 November – Isu yang tular mengenai cadangan membangunkan Disneyland atau Disney City pada satu sidang media Selasa lalu, disalah erti sehingga menimbulkan kekeliruan ramai bahawa perkara itu sudah diputuskan secara rasmi.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis menjelaskan, perkara itu sebenarnya hanyalah perancangan awal dan bukannya telah mendapat persetujuan.

“Saya meminta maaf atas kekeliruan mengenai Disney City atau Disneyland kerana ini adalah perancangan syarikat (KCI Metrolink Sdn Bhd) dalam pada mereka merancang untuk membangunkan sistem kereta api magnetik (bagi hubungkan lokasi pelancongan), kalau boleh ada satu ‘spot’ untuk Disney atau taman tema mini Disney masuk.

“Kami tidak pernah mengatakan bahawa telah termeterai perjanjian atau mana-mana MoU (Memorandum Persefahaman) atau MoA (Memorandum Perjanjian) dengan mana-mana pihak Disney, kita tidak pernah mengatakan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) di Kota Cemerlang di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar BBP, Saari Basiron.

Mengulas lanjut, Muhamad Jailani berkata beliau yakin pihak syarikat KCI Metrolink Sdn Bhd mahupun dirinya sendiri melakukan kesilapan mengenai perkara itu kerana syarikat itu memaklumkan sendiri tentang hasrat untuk membawa Disney ke sini.

“Yang dispekulasikan ini adalah seolah-olah adalah persetujuan, (sebenarnya) tidak . Ini perancangan kami demi memajukan negeri untuk kepentingan rakyat supaya ekonomi kita lebih rancak dan relevan dalam tempoh lima tahun akan datang. Salah ke saya merancang?

“Pada saya kita merancang janganlah beranggapan bahawa ia sudah dimeterai jadi sekiranya Disney tidak sudi atau tidak mahu, kita tidak boleh paksa, kita mahu Disneyland kerana taman tema itu adalah berbentuk pelancongan keluarga, jadi apabila syarikat menghampiri kita dengan hasrat untuk berjumpa dengan (pengurusan) Disneyland, silakan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pembinaan taman tema Disneyland di Melaka adalah palsu dan perkara itu disahkan wartawan media antarabangsa yang menghubungi Disney bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Menurut wartawan itu, Disney turut memaklumkan bahawa tiada perancangan rasmi pembinaan Disneyland di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6173
Kongsi :

One thought on “Muhammad Jailani tampil beri penjelasan isu Disneyland

Comments are closed.

Previous post Melaka rancang bina sistem kereta api Maglev hubung ‘hotspot’ pelancongan
Next post Roslan berkempen di TikTok, tarik sokongan anak muda
Ubah saiz-+=