Pengundi positif Covid-19 wajib pakai pelitup muka, dilarang naik kenderaan awam
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengundi positif COVID-19 juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing.
“(Pengundi positif COVID-19 tidak dibenarkan) singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi, dan perlu pulang segera selepas selesai mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan selamat terutamanya bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, Dr Noor Hisham berkata pengundi positif COVID-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat, manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan.
Katanya pengundi juga perlu menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan di tempat mengundi, selain disyorkan membawa pensanitasi tangan sendiri.
Dr Noor Hisham berkata individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang sekeliling.
“Marilah kita bersama-sama mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 kepada pengundi dan petugas di pusat mengundi sepanjang PRU15,” katanya.
Dr Noor Hisham turut berkongsi infografik mengenai nasihat am kepada pengundi PRU15 bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 di laman Facebooknya semalam.
Beliau berkata petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat pengundian bagi membantu melicinkan urusan pengundi positif COVID-19 dan menasihatkan mereka untuk mematuhi nasihat petugas kesihatan berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari mengundi awal manakala 19 Nov bagi hari pengundian PRU15. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.