Sorting by

×

Muzik asli perlu diketengahkan kepada golongan remaja – JKKN

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 12 November – Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2022 menampilkan seramai 22 peserta berentap merebut gelaran johan di Panggung Sari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (Sektor Kebudayaan dan Kesenian), Rosnan Nordin berkata, pertandingan itu sekali gus mempopularkan lagu-lagu Melayu Asli dalam kalangan remaja.

Menurutnya, ia adalah pertandingan kesinambungan selepas tahun 2014 diadakan bagi menarik minat anak muda dibawah usia 20 tahun.

“Kita mahu ia segar dalam kalangan anak-anak muda, sebab itu kita bawa kembali pertandingan ini untuk diperkenalkan kepada mereka.

“Sasaran penyertaan kali ini remaja berusia 15 hingga 20 tahun sebab kita nak mereka tahu bahawa muzik asli ini tidak susah cuma tidak diberikan pendedahan lebih mendalam.

“Ramai artis-artis tempatan kita seperti Siti Nordiana, Asmidar, Siti Nurhaliza, Noraniza Idria yang bermula dengan muzik asli sebelum memilih genre mereka sendiri hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas Pertandingan Akhir Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2022 di Panggung Sari JKKN, semalam.

WhatsApp Image 2022-11-13 at 3.36.04 PM
MOHD Amran (dua kanan) bersama Rosnan (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Tun Mohd Ali.

Pertandingan itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Penyelidikan) JKKN, Mohd Amran Mohd Haris dan Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Elias.

Pada pertandingan itu Nur Dalilah Husna Ahmad,20, dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Hafizuddin Jamaluddin dari Sarawak dinobatkan johan pertandingan bagi kategori wanita dan lelaki.

Kedua-dua johan membawa pulang wang tunai RM5,000, piala iringan beserta sijil penyertaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2603
Kongsi :
Previous post ‘Tak perlu minta, dia sendiri datang bantu rakyat’ – penduduk
Next post Tarik pelancong luar ke Masjid Tanah
Ubah saiz-+=