Sorting by

×

Percutian ke Langkawi bersama anak, menantu dan cucu tidak kesampaian

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

ALOR GAJAH 13 November – Keterujaan seorang lelaki warga emas yang dalam perjalanan ke Langkawi menyambut hari jadinya yang ke-71 tahun berakhir tragedi apabila maut bersama tiga ahli keluarganya dalam kemalangan di simpang tiga Jalan Kolam, Machap Baru di sini pagi tadi.

Dalam kemalangan pada jam 7.45 pagi itu, Ibrahim Daud, 71 maut bersama isteri, Latipah Dorahim, 66 dan menantu, Syazana Tharin, 30 serta cucu lelaki, Yusuff Daniel Muhammad Izwan, 5 yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) maut akibat cedera parah di bahagian kepala.

Seorang lagi kanak-kanak lelaki yang juga anak Syazana berusia kira-kira dua tahun parah manakala pemandu kenderaan pelbagai guna (4×4) berusia 59 tahun yang turut terlibat dalam kemalangan itu cedera ringan.

Anak lelaki Ibrahim, Muhammad Izwan yang memandu MPV terbabit berusia 30 tahun bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata siasatan awal mendapati kelima-lima beranak itu dalam perjalanan dari arah Selandar menghala ke Alor Gajah manakala 4×4 itu dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal menghala ke Selandar.

Katanya, ketika kejadian 4×4 dipandu keluar dari simpang dan membelok ke kanan sebelum MPV tersebut cuba mengelak dari merempuh kenderaan pacuan empat roda itu.

“MPV tersebut cuba mengelak ke arah kanan dan membrek sejauh lima meter namun merempuh juga 4X4 terbabit.

“Akibat kemalangan itu, Ibrahim maut di lokasi kejadian manakala tiga lagi iaitu Latipah, Syazana dan anaknya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

4BF85386-ACA3-4A12-A704-203B9507BFAE
KEMALANGAN maut mengorbankan empat sekeluarga di simpang tiga Jalan Kolam, Machap Baru

Mengulas lanjut, beliau berkata, jenazah keempat-empat beranak itu dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

“Maklumat awal mangsa memaklumkan mereka dalam perjalanan ke Langkawi untuk menyambut hari jadi Ibrahim,” katanya.

Arshad berkata pemandu 4×4 ditahan pada jam 11 pagi di Balai Polis Trafik Alor Gajah selepas menerima rawatan pesakit luar di hospital sama untuk keterangan lanjut.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati pemandu 4×4 negatif dadah.

Katanya, semua kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan Pusat Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9916
Kongsi :
Previous post Korek pasir bantu selamatkan mangsa pokok tumbang
Next post Sempat belanja satu warung sebelum maut nahas
Ubah saiz-+=