Sorting by

×

Penjual buah maut motosikal rempuh kereta

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

ALOR GAJAH 10 November – Seorang penjual buah maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Hutan Simpan, Masjid Tanah di sini malam tadi.

Dalam kemalangan pada jam 9.15 malam itu, Azmi Jona, 30 yang menunggang motosikal Y125ZR maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta jenis Perodua Axia berusia 45 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah menghala ke arah Durian Tunggal manakala pemandu kereta berkenaan dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum memasuki arah bertentangan dan merempuh kereta terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan maut di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kenderaan yang terlibat ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Berkomputer bagi siasatan lanjut.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat satu lorong dua hala berselekoh dan permukaan jalan basah akibat hujan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kemalangan itu turut mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid yang secara kebetulan dalam perjalanan menghala ke Taman Indah sebelum terserempak dengan insiden itu.

Beliau turut sama-sama dengan orang ramai menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa kemalangan terbabit.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8217
Kongsi :
Previous post Pindah 14 kubur lama berusia lebih 100 tahun
Next post PRU15: Kepentingan kos. strategi, media sosial terhadap perang poster
Ubah saiz-+=