Sorting by

×

Tarik minat orang kampung jadi usahawan

Masa Membaca:59 Saat

MASJID TANAH 10 November – Membantu masyarakat desa memasarkan produk dihasilkan antara perancangan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah, jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, sebelum ini pelbagai program seperti kelas jahitan, masakan, pembuatan kraftangan dan produk kampung dianjurkan.

Namun, kemahiran dimiliki tidak digunakan untuk menjana pendapatan berikutan kurangnya minat atau tidak ada ilmu keusahawanan dalam kalangan peserta mengikuti program.

“Produk yang dihasilkan berkualiti namun tidak dapat dikomersialkan atau tiada tempat untuk dipasarkan, inilah fokus saya untuk lahirkan usahawan berjaya dari kampung dalam Parlimen Masjid Tanah.

“Mungkin perlu diberikan lebih pendedahan mengenai ilmu keusahawanan selain suntikan motivasi dan sokongan agar mereka ini bersemangat untuk aktif dalam perniagaan. Usaha ini juga secara tidak langsung membantu meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatannya menyantuni peniaga di Pasar Malam Pengkalan Balak, di sini, semalam.

Abdul Hakim berkata, pegangannya iaitu kesamarataan dalam masyarakat mendorongnya untuk membantu orang ramai untuk lebih berjaya.

“Apa yang kita akan raikan kita mesti bersama, perlu ada sama rata. Kita tidak mengira warna kulit, agama, mahupun ideologi politik semua dibantu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1925
Kongsi :
Previous post PRU15: PDRM keluarkan lebih 3,000 permit berkempen seluruh negara
Next post Sentuh hati 80,000 penduduk sebelum kempen berakhir
Ubah saiz-+=