Pasukan 10 Briged Para tidak lagi kekang kemasukan PATI
SUNGAI UDANG 9 Okt. – Pasukan 10 Briged (Para) tidak lagi melaksanakan tugas rutin termasuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) menerusi Ops Pati di Semenanjung Malaysia atau Ops Pasir di Sabah dan Sarawak sebaliknya memfokuskan kepada tugasan khusus pasukan itu.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata keputusan itu berkuatkuasa serta merta kepada semua pasukan itu dengan kekuatan anggota seramai 4,800 pegawai dan anggota di empat batilion Para.
Katanya, tugasan rutin termasuk menjaga kententeraman awam akan diserahkan kepada batilion infantri termasuk Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer Diraja (RRD).
“Penguatkuasaan ini akan melibatkan empat batilion iaitu 9 RAMD, 10 Briged Para dan 8 RRD di Kem Terendak dan 18 RAMD di Seberang Takir, Terengganu.
“Batalion ini ditugaskan untuk membuat tugas ‘specialist’ iaitu menjalani latihan dengan menyusup sama ada melalui udara, darat atau air.
“Mereka ini ditugaskan masuk di belakang kawasan pertahanan musuh,” katanya pada sidang media selepas dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat pada majlis penganugerahan di Kem Terendak di sini, hari ini.
Hadir sama, Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Semaon Marjuki.
Dalam pada itu, beliau berkata pasukan itu perlu memberi tumpuan dan mempertingkatkan kesiapsiagaan dari segi tiga perkara utama.
“Ada beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan iaitu dari segi komunikasi, kedua dari aspek mobiliti dan kuasa tembakan.
“Tiga perkara itu kita akan tekankan dan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) nanti kita akan tentukan supaya perkara ini dipertingkatkan ditahap mana berdasarkan kepada peruntukan semasa,” katanya.