Perjuang nasib penunggang p-hailing

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TANJUNG BIDARA 8 November – Tempat persinggahan untuk kemudahan penunggang p-hailing di Parlimen Masjid Tanah akan dilancarkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tempat persinggahan itu dicadangkan di lokasi berhampiran Balai Polis Masjid Tanah.

“Tempat persinggahan yang dicadangkan itu akan dilengkapi kemudahan asas seperti tandas dan ruangan untuk penunggang p-hailing berehat.

“Semua ini adalah antara usaha kita dalam menghargai penunggang p-hailing yang turut sama memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi khususnya di Parlimen Masjid Tanah,” katanya ketika ditemui pada perjumpaan bersama penunggang p-hailing di Villa D’Acqua, di sini, hari ini.

Hadir sama pada perjumpaan itu, calon BN bagi Parlimen Masjid Tanah Abdul Hakim Abdul Wahid.

Ab Rauf berkata, dalam perjumpaan sama beliau turut meluangkan masa mendengar rungutan dan permasalahan yang membelenggu penunggang p-hailing.

Menurutnya, antara yang disuarakan pada pertemuan itu adalah supaya kerajaan mengawal selia dan mewujudkan satu mekanisma agar kadar upah yang diterima daripada penyedia platform p-hailing di negara ini diselaraskan, setimpal dan munasabah dengan penat lelah mereka.

“Ketika ini kadar upah antara platform adalah berbeza, kadang-kadang RM4, RM3.90 malah ada serendah RM2, inilah yang menjadi dilema penunggang p-hailing.

“Kita akan bawa suara mereka kepada pihak kerajaan, perlu ingat mereka ini memainkan peranan yang amat besar dalam perkembangan syarikat penyedia platform p-hailing itu sendiri dan ekonomi negara, berikutan itu kebajikan mereka perlu diberikan perhatian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1494
Kongsi :
Previous post Tak mahu lagi lihat ‘rider’ berteduh di tepi jalan
Next post PADU bukan jual madu beracun
Ubah saiz-+=