Parlimen Putrajaya saksi perebutan enam calon
PUTRAJAYA, 5 Nov – Penyandang kerusi Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berdepan saingan sengit untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.
Buat kali pertama sejak kerusi itu dipertandingkan pada 2004, Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan dua calon bebas.
Selepas proses penamaan calon di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 9 tamat pada 10 pagi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Putrajaya Shamshul Joehari Zainal Mokhtar mengumumkan enam calon layak bertanding, dengan semua borang pencalonan diterima tanpa sebarang bantahan.
Enam calon itu adalah Tengku Adnan (BN-UMNO), Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Bersatu), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH-PKR), Timbalan Presiden Berjasa Datuk Mohd Rosli Ramli yang menggunakan logo Pejuang, serta dua calon bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.
Pada pilihan raya sebelum ini, saingan Parlimen Putrajaya yang lazimnya melihat pertandingan satu lawan satu menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRU14, dengan Tengku Adnan terus mengekalkan kerusi apabila menang dengan majoriti 3,372 undi.
Parlimen Putrajaya, yang merupakan kawasan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, mempunyai pengundi berdaftar berjumlah 42,881 orang.
Tengku Adnan ketika ditemui pemberita menyifatkan pertembungan enam penjuru kali ini adalah suatu yang luar jangka.
“Saya terkejut biasa satu lawan satu dan terakhir pada PRU14 ada tiga penjuru tetapi kali ini banyak… ini hak masing-masing dan kita negara demokrasi.
“Siapa nak tawarkan diri boleh tawarkan diri dan yang penting siapa yang boleh beri perkhidmatan, keselesaan dan kemakmuran kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Radzi berkata beliau dan jentera PN hanya akan fokus terhadap kekuatan sendiri, berbanding memikirkan kepada soal calon lain yang bertanding.
“Alhamdulillah proses penamaan hari ini berjalan lancar… sekarang fokus kepada jentera pada PRU15,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 15 Nov.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.