Melaka dalam proses haramkan Hizbut Tahrir
AYER KEROH 8 Okt – Jabatan Mufti Melaka kini dalam proses mewartakan larangan tidak menerima fahaman Hizbut Tahrir Malaysia di negeri ini.
Mufti negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, larangan masyarakat Islam terbabit dengan kefahaman itu sudah difatwakan dan kini dalam proses untuk mewartakannya.
“Kita sudah bincangkan dalam fatwa untuk proses diwartakan larangan kegiatan masyarakat Islam menyertai, berpegang dan menyebarkan serta menyertai sebarang aktiviti dibawah penganjuran Hizbut Tahrir.
“Proses mewartakan ini selaras dengan keputusan jawatankuasa muzakarah fatwa peringkat kebangsaan selepas tindakan sama dibuat di Selangor dan Johor,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang giat memantau sekiranya fahaman itu tersebar atau terdapat antara penduduk di negeri ini terbabit dalam hal itu.
“Buat ketika ini ianya masih terkawal dan pemantauan diadakan. Beberapa tahun lalu sebelum 2016 kumpulan itu ada jalankan program di sini tetapi disertai orang luar, Melaka hanya dijadikan lokasi,” katanya.
Abdul Halim berkata, pada penghujung September lalu ada cubaan daripada pihak Hizbut Tahrir untuk berjumpa denganya, bagaimanapun tidak diterima.
Difahamkan, kumpulan itu dikesan aktif merekrut ahli baharu termasuk daripada golongan berpendidikan seperti pelajar universiti, ahli akademik kanan serta profesional.
Dikatakan juga, doktrin fahaman kumpulan itu adalah termasuk menolak demokrasi, selain melabel kerajaan sebagai kafir dan wajib diguling dengan kekerasan.