Masyarakat main peranan penting elak kejadian lemas
PANTAI KUNDOR 5 November – Masyarakat dan pengunjung pantai diminta agar memainkan peranan dalam mengelakkan kejadian lemas di pantai seperti yang berlaku di Pantai Puteri, di sini, petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi berkata, sikap cakna masyarakat dalam membantu mengawasi dan saling mengingatkan mengenai aspek keselamatan khusus apabila membabitkan pengunjung dalam kalangan kanak-kanak yang beriadah tanpa pengawasan orang dewasa atau penjaga adalah amat diharapkan.
“Ibu bapa atau penjaga juga diingatkan supaya memantau pergerakan anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang. Kepada orang ramai pula jika nampak kanak-kanak mandi tanpa mengawasan tegur dan nasihati mereka.
“Untuk makluman, tahun ini sahaja, sudah dua kes lemas direkodkan di pantai ini dan disebabkan itu kita minta peranan semua pihak, khususnya ibu bapa dan keluarga itu sendiri,” katanya yang ditemui ketika melawat ke lokasi kejadian lemas yang mengorbankan nyawa kanak-kanak berusia enam tahun.
Tuminah berkata, aspek pemantauan di Pantai Puteri sentiasa dilakukan Jabatan Laut, namun disebabkan pantai yang panjang ia sukar untuk dilakukan secara menyeluruh, berikutan itu keprihatinan semua pihak amat diharapkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.