Sorting by

×

Tumpu tiga aspek bangunkan Kota Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 4 November – Tiga aspek utama iaitu kebajikan masyarakat, kebudayaan dan pembangunan ekonomi akan diberikan penekanan oleh bakal calon Barisan Nasional (BN) Kota Melaka, Kon Qi Yao sekiranya diberi kepercayaan serta mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Qi Yao, 41, berkata, selain tiga perkara itu, pembangunan industri pelancongan turut akan menjadi fokusnya dalam merancakkan lagi sektor pelancongan khususnya di Banda Hilir.

“Semua sedia maklum, Bandar Melaka ini terkenal dengan pelancongan dan dalam tempoh pandemik ianya secara tidak langsung terkesan dan kembali pulih sejak April. Jadi ia antara sektor yang perlu diberi perhatian dimajukan kembali.

“Kebajikan masyarakat, kebudayaan dan juga pembangunan ekonomi penduduk setempat harus diberi perhatian demi kesejahteraan rakyat.

“Pembangunan budaya misalnya akan diberi perhatian kerana kita mempunyai masyarakat dan kaum berbilang bangsa antaranya Baba Nyonya, Portugis serta Chetti, ini semua perlu diperkuatkan lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berkata, dengan pengalaman sepanjang kira-kira 10 bulan berkhidmat, banyak yang diperoleh terutamanya dalam menangani aduan rakyat untuk diselesaikan.

“Sejak menjadi ahli majlis, penduduk setempat khususnya ramai yang mula mengenali saya dan peluang berkhidmat untuk masyarakat ini membuatkan lebih mudah untuk fahami masalah penduduk.

“Ternyata ia memberi pendedahan kepada saya bagaimana untuk urus dan bawa aduan daripada rakyat ini untuk diselesaikan jadi ini secara tidak langsung akan dipraktikkan kelak jika diberi kepercayaan oleh rakyat.

“Malah dengan latar belakang sebagai jurutera sebelum ini juga membuatkan cara kerja dilakukan berpandukan proses atau berperingkat sehingga sesuatu masalah dapat ditangani,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda MCA Bahagian Kota Melaka berkata, persiapan jentera bagi menghadapi PRU15 sudah dilakukan sejak dua bulan lalu malah mesyuarat antara parti komponen turut giat diadakan bagi membincangkan perjalanan jentera demi menawan hati rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2202
Kongsi :
Previous post PRU15: Polis Perak kenal pasti Bagan Datuk, Larut, Tambun sebagai lokasi ‘panas’
Next post PRU15: Angkat suara anak muda Masjid Tanah
Ubah saiz-+=