PRU15: Angkat suara anak muda Masjid Tanah
MASJID TANAH 19 Oktober – Aspirasi anak muda yang menjadi suara akar umbi kepada sistem demokrasi negara tidak perlu diabaikan kerana inilah masanya pimpinan akan datang perlu mengimbangi dan mengambil langkah bijak dalam mewujudkan kerajaan yang lebih stabil.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati, rata-rata suara anak muda dalam Parlimen Masjid Tanah mengharapkan pelbagai pembaharuan yang perlu dilaksanakan kepada pemimpin yang bakal memegang kerusi kawasan itu setelah diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Mereka mengharapkan peluang pekerjaan perlu diambil perhatian selain pembangunan ekonomi buat golongan B40 dan pendidikan sedia ada perlu dimartabatkan.
Selain itu sektor pelancongan luar bandar di Masjid Tanah juga antara yang menjadi bicara utama anak muda dalam tinjauan MHI, hari ini.
Seorang pengundi muda, Muhd Ihsan Abd Malek,28, berharap sistem pendidikan di dalam Parlimen Masjid Tanah perlu menjadi garis panduan utama dalam pimpinan akan datang berikutan kawasan yang dilimpahi pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) kurang menerima sambutan khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Jelasnya, kesan itu mengakibatkan ada antara pusat pengajian kini semakin dihimpit dilema terpaksa melaksanakan promosi besar-besaran sedangan IPT yang diterajui dibawah kerajaan itu menawarkan pelbagai pembiayaan, elaun dan biasiswa tertentu kepada pelajarnya.
“Ramai warga Masjid Tanah seolah tidak tahu kewujudan pelbagai IPT di Masjid Tanah. Jadi tampuk kepimpinan yang ada ini perlu lebih memartabatkan institusi pendidikan di kawasan ini dengan memberi pendedahan bidang apa yang ditawarkan buat anak jati Masjid Tanah.
“Memang benar kawasan Masjid Tanah dilimpahi pelbagai pembangunan khususnya pendidikan namun kerajaan perlu ada satu garis panduan ataupun pelan rangka khas untuk memastikan ramai anak Masjid Tanah berpendidikan tinggi yang pastinya membawa sebuah ketamadunan anak muda di kawasan pinggir bandar ini,” katanya kepada MHI.
Dalam pada itu, dia berhasrat Melaka yang merupakan sebagai negeri pelancongan perlu lebih memfokuskan pelancongan luar bandar berbanding penumpuan dalam pembangunan baharu di kawasan Masjid Tanah.
“Kita lihat dari Tanjung Bidara sampailah ke Tanjung Dahan pembangunan pelancongan memang sudah tersedia membangun tapi pimpinan akan datang perlu tahu cara bagaimana untuk menarik lebih ramai lagi pelancong ke kawasan ini agar membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat sekitar.
“Seperti contoh di Tanjung Bidara kita sudah ada banyak pembangunan tetapi kenapa ia masih lengang tanpa kehadiran pelancong? Kerajaan perlu ada jalan bagaimana untuk memartabatkan sektor ini ke arah yang lebih baik supaya pengusaha chalet, penggiat industri dan peniaga kecil akan menerima manfaatnya dalam sektor ini.
“Pimpinan akan datang perlu ada jalan baharu,perlu bersedia berkhidmat kepada masyarakat dan jangan lupa suara orang muda kerana kami tunjang kepada negara, saya harap mereka perlu ada politik matang dengan kepimpinan yang lebih adil tanpa mengira fahaman politik,” katanya.
Sementara itu, seorang pengundi, Farah Nasuha Mohd Yusof, 29, meluahkan kerajaan perlu lebih memfokuskan lebih banyak peluang pekerjaan ditawarkan dalam pembangunan ekonomi dari pelbagai industri sedia ada di Masjid Tanah.
Katanya, langkah itu sudah pasti akan membantu perubahan landskap kehidupan anak muda Masjid Tanah agar terhindar dari kebejatan sosial dan masalah jenayah yang berlaku.
“Kemasukan pelaburan baharu pastinya akan membantu membuka pelbagai industri baharu di Masjid Tanah dan ini akan membuka peluang pekerjaan kepada warga di kawasan ini.
“Tidak lupa juga kepada sektor pertanian, pimpinan akan datang perlu ada garis panduan baharu agar tanah-tanah terbiar yang ada di kawasan Masjid Tanah dibangunkan dengan sektor pertanian yang lebih moden.
“Ini sudah pasti akan membuka satu pekerjaan baharu sekali gus membangunkan pemerkasaan ekonomi dalam sektor pertanian luar bandar,” katanya.
Dalam kesempatan itu, seorang pengundi 18 tahun turut meluahkan hasratnya dalam kepimpinan baharu selepas PRU15 nanti di mana mengharapkan pemimpin yang bakal memegang kerusi itu perlu datangnya dari ‘kilang’ belia agar ia mampu membawa hasrat anak muda kawasan itu ke peringkat yang lebih tinggi.
Bagi Muhammad Azri Nor Azman,18, berkata, peranan belia yang berpotensi perlu dimartabatkan agar pembangunan dan kesejahteraan Masjid Tanah mampu membuka potensi dengan pelbagai perkhidmatan agar mendatangkan impak positif kepada anak muda di kawasan itu.
Menyentuh aspek pembukaan daerah baharu, Muhammad Azri mencadangkan agar semua agensi dan jabatan terlibat perlu duduk rapat mengatur strategi terbaharu agar setiap perancangan idea bagi membangkitkan Masjid Tanah sebagai hub pembangunan mampu dicapai sewajarnya.
“Apabila dirangka dari segi pembangunan, pendidikan,pelancongan dan ekonomi yang strategik dan teratur maka kita akan lihat kesemua perkara itu mampu dijalankan dengan baik.
“Selain itu, apabila Masjid Tanah bergelar daerah baharu kerajaan perlu pastikan peluang pembangunan ini dapat dimanfaatkan ke seluruh daerah lain mahupun di negeri lain supaya pembangunan ini dapat sambutan dari sudut pelaburan, dana perancakkan ekonomi dan sebagainya.
“Kita tidak mahukan ia hanya umpama ‘syok sendiri’ kerana apabila tidak inisiatif untuk memperbanyakkan pelaburan yang masuk ia tidak terhasil dan berhenti di tengah jalan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.