Sorting by

×

PRU15: Polis Perak kenal pasti Bagan Datuk, Larut, Tambun sebagai lokasi ‘panas’

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

IPOH, 3 Nov – Polis Perak telah mengenal pasti Parlimen Bagan Datuk, Larut dan Tambun sebagai tiga lokasi ‘panas’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata ketiga-tiga kawasan Parlimen itu diberi perhatian bagi memastikan perjalanan sepanjang PRU15 berjalan lancar dan sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

“Kesemua ketua polis daerah di negeri ini telah melakukan perjumpaan bersama semua wakil parti yang bakal bertanding dan memberikan penerangan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang PRU15 berlangsung,” katanya pada sidang media berkaitan persediaan Polis Perak sempena PRU15 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 791 pegawai dan 7,172 anggota polis ditugaskan di negeri ini sepanjang PRU15.

Dalam pada itu, Mohd Yusri turut menasihatkan semua parti politik supaya menjalankan kempen secara berhemah dan profesional serta tidak melakukan sebarang provokasi berlebihan terhadap isu sensitif seperti agama, perkauman dan institusi diraja.

“Ia boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, benci-membenci serta boleh memudaratkan keadaan keharmonian atau perpaduan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 Nov depan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1639
Kongsi :
Previous post 318 projek dilaksanakan di Masjid Tanah tahun lalu
Next post Tumpu tiga aspek bangunkan Kota Melaka
Ubah saiz-+=