Eko pelancongan bahagiakan orang Ayer Limau – KM
AYER LIMAU 3 November – Projek eko pelancongan Paya Lebar sedang dalam proses pembinaan dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Sulaiman berkata, meskipun permohonan dibuat sejak 2018 namun pelaksanaannya tidak dapat diteruskan berikutan peruntukan bagi tujuan itu tidak mendapat kelulusan kerajaan pada waktu berkenaan.
Baginya, projek itu amat penting dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat yang bukan sahaja bakal membabitkan nelayan bahkan juga pengusaha produk tempatan yang lain.
“Berikutan itu sejurus dilantik sebagai Ketua Menteri saya angkat semula cadangan ini kepada Datuk Seri Nancy Shukri, sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika itu.
“Alhamdulillah pemakluman kelulusan projek dengan peruntukan sebanyak RM2.48 juta dikeluarkan pada 8 Disember 2020 dengan pembinaan diserahkan oleh agensi pelaksana iaitu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Lawatan Pemantauan Projek Negeri Oleh YAB Ketua Menteri dan Program Komuniti Perikanan DUN Ayer Limau Bersama Pejabat Perikanan Negeri Melaka di Pangkalan Nelayan Paya Lebar, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh dan Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Beliau berkata, MPAG memberikan lanjutan tempoh masa pembinaan atas beberapa sebab munasabah seperti air pasang surut di tapak yang mengganggu kelancaran projek, faktor logistik kerana laluan masuk ke tapak projek terhalang dan perubahan tapak.
“Kemajuan sebenar tapak setakat 20 Oktober 2022 adalah 90 peratus berbanding 88 peratus iaitu cepat dua hari. Bagi 2024 pula Kerajaan Negeri bercadang membuat permohonan bagi pembangunan fasa kedua.
“Fasa pertama lebih kepada asas dulu, fasa kedua utamakan pengisian jadi kesinambungan projek pertama, mesti ada pengisian menjadi tarikan bagi pelancong,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.