“Tolong selamatkan industri penternakan ikan kami”
TABOH NANING 8 Okt. – “Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tolong dalamkan empangan dan parit untuk membantu mengelak banjir berulang lagi yang merugikan kami.”
Itu rayuan penternak ikan air tawar Kampung Ulu Sungai Buloh, di sini kerana kerja berkenaan penting bagi membantu kira-kira 20 pemilik dari 90 kolam penternakan ikan air tawar seperti tilapia, jelawat dan keli tidak kerugian akibat banjir seperti yang dialami pada 21 September lalu.
Kamaruddin Hashim, 57, berkata, empangan kecil yang dibina JPS di puncak bukit di kampung berkenaan kira-kira 10 tahun lalu melimpah akibat hujan lebat di hilir sungai di Tampin, Negeri Sembilan pada jam 8 malam, 21 September lalu.
“Empangan itu dibina JPS untuk membantu mengairi 90 kolam penduduk kampung ini yang memang sudah lama terbabit dalam industri penternakan ikan air tawar.
“Begitu juga dengan parit yang berhampiran kolam ikan kami tetapi semuanya melimpah dalam kejadian banjir dan menyebabkan kami mengalami kerugian yang besar,” katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.
Beliau berkata, industri berkenaan amat memerlukan sistem perparitan dan pengairan yang sempurna tetapi empangan dan parit yang sudah dipenuhi keladak menyebabkan ia tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.
Katanya, dengan mendalamkan semula empangan dan parit, kejadian seumpama itu mampu dielakkan, sekali gus menjamin kelangsungan industri itu sebagai sumber ekonomi utama penduduk kampung.
Noor Azlan Salim, 46, berkata beliau mengalami kerugian apabila beribu-ribu ikan kelinya terlepas ke sungai akibat banjir dan berharap JPS mampu menjalankan usaha mendalamkan empangan dan parit.
“Saya memasarkan ikan keli kepada peniaga Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan dan beberapa pasar sekitar bandar Alor Gajah tetapi dalam kejadian itu, saya tidak dapat memasarkannya.
“Hari ini saya dan pembantu menangkap saki baki ikan keli yang masih ada dalam kolam,” katanya.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, hujan lebat mulai jam 5.30 petang menyebabkan air dari empangan dan parit melimpah ke dalam kolam pada jam 8 malam, sekali gus menyebabkan ribuan ikan terlepas.
Katanya, penternak tidak berupaya menghalang ikan daripada terlepas kerana air naik terlalu tinggi dan membahayakan keselamatan sesiapa yang mencuba menangkap ikan yang terlepas.