24 peniaga dikenakan tindakan sepanjang pelaksanaan harga maksimum musim Deepavali

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Seramai 24 peniaga dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 yang berkuat kuasa dari 20 hingga 26 Okt lepas.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata ia hasil pemeriksaan ke atas 111 premis borong dan 4,228 premis runcit sepanjang tempoh berkenaan.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan, gagal meletakkan tanda harga dan gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata barangan yang disenaraikan sebagai barangan harga terkawal bagi skim itu adalah daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India), bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

Menurut Azman pelaksanaan skim itu merupakan langkah proaktif kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat terutama sepanjang tempoh perayaan Deepavali.

“Kuasa pengguna merupakan langkah pencegahan awal yang boleh diambil agar pengguna tidak mudah dimanipulasi oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dalam situasi sukar ketika ini,” katanya.

Beliau turut meminta pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku peniaga supaya melaporkan aduan kepada KPDNHEP sama ada menerusi WhatsApp di 019-2794 317/019-8488 000, portal e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1640
Kongsi :
Previous post 145 mangsa banjir di Melaka masih berada di PPS
Next post Koperasi kawal perbelanjaan, cari keuntungan – SKM
Ubah saiz-+=