PAWE Alor Gajah giat anjurkan aktiviti
ALOR GAJAH 28 Oktober – Bagi mewujudkan golongan warga emas yang berdikari dan meningkatkan kesejahteraan hidup, pelbagai aktiviti dijalankan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Alor Gajah.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, penganjuran dan program yang dilaksanakan bertujuan bagi menghargai jasa warga emas khususnya golongan profesional yang menyumbang ilmu, idea dan kepakaran ke arah pembangunan warga emas secara holistik.
Beliau berkata, setiap kali Oktober akan diadakan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia dan beberapa program besar dianjurkan oleh PAWE dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya bangga dengan keupayaan warga emas di PAWE Alor Gajah ini yang sentiasa mempamerkan konsep penuaan sihat, aktif dan produktif serta berterusan dalam memperkasa diri bagi memberi sumbangan pengetahuan, kemahiran serta percambahan idea.
“Malah penganjuran program ini juga selaras dengan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) yang ingin mewujudkan warga emas bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat serta aktif dalam meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perasmian Program Kasih Dijunjung, Budi Disanjung dan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat PAWE Alor Gajah, semalam.
Menurut beliau, pengisian program dengan acara Hasil Tangan Ibu dan Didik Hibur Dalam Permainan Tradisional iaitu congkak serta batu seremban, melambangkan falsafah kasih sayang dan kesabaran seorang wanita bergelar ibu yang menjalankan peranan sebagai suri dalam sesebuah rumah tangga.
“Pada program itu juga, dua warga emas dipilih sebagai Tokoh Wanita Emas, meraka adalah Puan Nazrah Darus dan Puan Norhanah Yusop. Pemilihan ini sekaligus mengiktiraf kehebatan kaum wanita yang memperkasakan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.