Ajal tiga beranak dalam nahas jalan raya
ALOR GAJAH 28 Oktober – Tiga beranak termasuk seorang bayi berusia setahun maut dalam kemalangan di Kilometer 216 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat di sini pagi tadi.
Difahamkan, kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda Jazz dinaiki sepasang suami isteri berumur lingkungan 20-an dan seorang kanak-kanak berusia setahun dengan sebuah lori dua tan jenis Isuzu dipandu oleh seorang lelaki
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supritendan Arshad Abu ketika dihubungi telah mengesahkan kemalangan tersebut.
“Ketiga-tiga jenazah (tiga beranak) telah dihantar ke Hospital Alor Gajah bagi tujuan bedah siasat manakala waris mangsa dalam perjalanan dari Johor,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Mohamad Ezanee Hamat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.02 pagi sebelum 21 anggota dari BBP Alor Gajah serta BBP Ayer Keroh dan BBP Tampin dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati pasangan suami isteri dan kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang lima kilometer dan operasi tamat kira-kira jam 1.10 petang,”katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.