Sorting by

×

Lelaki Bangladesh didenda RM2,000 lari sekatan, pukul polis

Masa Membaca:51 Saat

AYER KEROH 28 Oktober – Tindakan seorang pekerja binaan warga Bangladesh melarikan diri daripada sekatan jalan raya dan memukul anggota polis mengundang padah apabila didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abser Nurul,34 mengaku bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan Abser dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang sedang menunggang motosikal melarikan diri daripada pemeriksaan polis kerana tidak mempunyai lesen.

Tertuduh kemudian bertindak agresif dengan cuba memukul anggota polis menggunakan topi keledar.

Perbuatan itu dilakukan di tempat letak kenderaan di hadapan sebuah pasar raya berhampiran terminal bas Melaka Sentral pada jam 10.30 malam, 10 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala tertuduh diwakili Peguam Umar Zulkarnain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2513
Kongsi :
Previous post Muat turun aplikasi I-Trafik, elak kesesakan lalu lintas – MBMB
Next post PAWE Alor Gajah giat anjurkan aktiviti
Ubah saiz-+=