KEMAS lahir hampir 500 graduan TVET tahun ini
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kesemua graduan itu adalah pelatih program TVET dilaksanakan KEMAS yang diiktiraf Jabatan Pembanguan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.
“Kesemua graduan adalah pelatih dari Akademi Kemahiran KEMAS Seri Iskandar dan Gopeng, Perak dan Penyelia Kemahiran KEMAS.
“KEMAS telah memperuntukkan sejumlah RM2 juta tahun ini untuk melaksanakan program sijil dan diploma TVET di KEMAS dan ia memang mendapat sambutan yang tinggi daripada lepasan sekolah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia Ke-13 KEMAS di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah KEMAS Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Abdul Kahar Abdullah.
Menurut Mahdzir, TVET KEMAS memberi fokus dalam bidang jahitan dan kulinari dengan kos pengajian ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan para pelajarnya pula terdiri daripada belia dan beliawanis kumpulan B40.
“Kita membuka peluang untuk direbut oleh mereka yang berminat kerana kemahiran itu amat berguna kepada mereka sekali gus membuka peluang kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan atau membuka perniagaan sendiri berkaitan kemahiran diperoleh itu,” katanya.
Mahdzir juga berkata setakat ini KEMAS telah melahirkan sebanyak 2,400 orang graduan dalam pelbagai bidang kemahiran sejak 2007.
Pada majlis konvokesyen itu, sebanyak 460 graduan TVET KEMAS menerima SKM, DKM dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.