Sorting by

×

PRU15 tidak jejas penganjuran Para Sukma 2022 – MPM

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Kehangatan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan menjejaskan penganjuran temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 yang dijadual berlangsung di sekitar Lembah Klang bermula 1 hingga 6 Nov ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata kesemua perancangan kini rancak dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menghadapi temasya sukan tersebut.

“Walaupun musim pilihan raya, ia tidak beri kesan (penganjuran Para Sukma), apa yang dirancang akan diteruskan dan segalanya sedang berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian amanat temasya Sukan Asia Virtus Oceania, Brisbane 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata penganjuran Para Sukma kali ini sangat penting dalam meneroka bakat baharu selain menyediakan platform untuk atlet selepas kali terakhir dianjurkan pada edisi 2018 di Perak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 20 Okt lepas menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15. Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.

Dalam pada itu, Megat D Shahriman memaklumkan 19 anggota terdiri daripada 11 atlet berumur dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun dan lapan pegawai akan mewakili negara pada penampilan sulung kontinjen negara di Sukan Asia Virtus Oceania di Australia pada 5 hingga 11 Nov.

“Kesemua mereka dijangka bertolak pada 4 Nov dan pulang pada 12 Nov. Malaysia akan menyertai tiga daripada 14 jenis sukan ditawarkan iaitu olahraga, renang dan ping pong,” katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak menetapkan sebarang sasaran pingat dalam temasya sukan rantau Asia dan Oceania di Brisbane itu kerana enggan memberi tekanan kepada atlet, namun berharap mereka melayakkan diri ke peringkat sedunia dikenali Virtus Global Games yang akan diadakan di Vichy, Perancis tahun depan.

Virtus adalah sebuah badan antarabangsa yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Sukan Antarabangsa untuk Orang Kurang Upaya Intelek (INAS).

Sementara itu, Pengarah Bahagian Paralimpik MSN Mohd Sofian Hamzah kagum dengan pencapaian dua atlet berbasikal pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2022 di Perancis minggu lepas yang membawa pulang satu perak dan satu gangsa.

Mohd Sofian berkata pencapaian membanggakan itu membuktikan mereka sememangnya dahagakan kejayaan memandangkan pertandingan di Perancis itu merupakan kejohanan antarabangsa pertama mereka bagi tahun ini.

Khamis lepas, Malaysia meraih pingat perak menerusi acara 750 meter (m) pecut tandem berpasukan menerusi gandingan Nur Suraiya Muhamad Zamri dan Mohd Khairul Hazwan Wahab diikuti kejayaan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin membawa pulang gangsa menerusi acara ujian masa 1000m C1, sehari kemudian.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2102
Kongsi :
Previous post PRU15: Calon BN perlu jalani tapisan termasuk dengan Jabatan Agama – Ismail Sabri
Next post Sultan Nazrin berkenan rasmi sambutan Hari Hutan Antarabangsa Perak
Ubah saiz-+=