Isu royalti penggiat perfileman perlu dilihat semula – PM
KUALA LUMPUR, 24 Okt – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu supaya isu pembayaran royalti bagi mereka yang bergiat dalam industri perfileman dilihat semula.
Perdana menteri berkata isu berkenaan sebelum ini pernah dibincangkan sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Malah katanya, sewaktu tempoh sama Akta Hak Cipta telah berjaya dipinda bagi memberi royalti kepada penyanyi dan komposer.
“Jadi waktu saya itu, kita baru bermula…saya harap perkara ini boleh dilihat kembali bagi kita jaga kepentingan pelakon-pelakon, penerbit-penerbit, pengarah-pengarah dan sesiapa sahaja terlibat dalam aktiviti perfileman
“Insya-Allah saya sebagai perdana menteri mungkin tak sempat untuk saya sendiri lakukannya, tetapi asas saya sudah letakkan, mungkin kita bagi Tan Sri Annuar Musa sendiri (Menteri Komunikasi dan Multimedia) untuk melihat perkara ini,” katanya dalam ucapan penutupan Program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@Finas) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Senator Datuk Seri Zurainah Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.
Perdana menteri berkata berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019, industri perfileman menyumbang 1.9 peratus atau RM29.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjana sebanyak 216,811 peluang pekerjaan.
Bagaimanapun industi yang merangkumi sektor pengeluaran, pengedaran dan pemameran filem berkenaan mengalami kerugian dianggarkan lebih RM10 bilion sejak 18 Mac 2020 kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik.
“Daripada jumlah itu, industri pemameran pawagam kehilangan kutipan kasar RM1.08 bilion pada tahun 2019, kepada RM138.9 juta pada tahun 2020, dan RM28.9 juta pada tahun 2021,” katanya.
Mengenai proses pemulihan ekonomi pasca pandemik, Ismail Sabri berkata impak usaha kerajaan menarik pelaburan asing juga dapat dilihat melalui data pelaburan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) Finas berjumlah RM129.7 juta sehingga Ogos lepas, melebihi RM100 juta sasaran.
Manakala bagi pasaran domestik, kejayaan filem Mat Kilau yang mencatat kutipan pecah panggung tertinggi melebihi RM90 juta adalah bukti kemampuan filem tempatan bersaing dengan filem-filem antarabangsa yang menguasai 60 peratus pasaran pecah panggung (box office).
Katanya ini disusuli kejayaan filem-filem seperti Air Force The Movie dan Abang Long Fadil 3 yang juga mencatat kutipan melebihi RM25 juta yang memberi keyakinan kepada pihak penerbit, pengedar dan pemamer mengenai keupayaan filem-filem tempatan kita untuk memecah kebuntuan akibat impak pandemik.
Beliau berkata kerajaan sedar dalam laluan menuju ke hadapan, suasana ekonomi dijangka lebih mencabar dan pelbagai isu telah disuarakan pemegang taruh seperti pemilikan hakcipta, kebajikan penggiat, kadar bayaran penerbitan oleh penyiar, potongan duti hiburan, insentif percukaian dan sebagainya.
“Kerajaan sentiasa prihatin akan isu-isu yang dibangkitkan dan berdasarkan perancangan jangka panjang, isu-isu ini akan diperhalusi dan ditambah baik seiring ekosistem industri yang melalui fasa perubahan,” katanya.
Beliau percaya para pemegang taruh industri mempunyai potensi besar untuk menjadikan industri perfileman negara sebagai komoditi yang memacu ekonomi di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Saya berharap industri tempatan akan terus kukuh mengharungi situasi ekonomi yang kian mencabar dan bangkit secara progresif supaya seluruh Keluarga Malaysia mendapat manfaat,” katanya.
Mengenai Bajet 2023 kepada industri perfileman, Ismail Sabri berkata RM152 juta diperuntuk kepada Finas bagi memacu pembangunan industri yang memberi manfaat kepada pelbagai kumpulan pemegang taruh merangkumi pelabur, penerbit, pengedar, pemamer, penyedia perkhidmatan dan tenaga produksi.
Katanya ini termasuk peruntukan Dana RM50 juta untuk Dana Khas Kandungan Kreatif Kenegaraan, peruntukan Dana Kandungan Digital sebanyak RM102 juta dan potongan cukai bagi sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Finas.
Selain itu pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran dan tanggungan 80 peratus caruman oleh kerajaan bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial untuk penggiat seni FINAS.
“Namun kesemua ini akan hanya dinikmati sekiranya Bajet 2023 ini dibentangkan kembali dan diluluskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15. Maknanya Kerajaan hari ini perlu dipilih kembali untuk menerajui negara,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.