Sorting by

×

MIC Melaka akan pastikan kemenangan BN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BATU BERENDAM 24 Oktober – MIC Melaka akan memastikan kemenangan akan berpihak kepada semua calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November depan.

Pengerusinya, VP Shanmugan berkata, meskipun parti itu tidak menyandang kerusi Parlimen di Melaka namun semua jentera MIC yang terdiri daripada 143 cawangan sudah diarahkan untuk bersama jentera parti BN.

“Dalam konteks MIC tugas kita yang penting memastikan di mana BN bertanding, pastikan calon menang. Walaupun di Melaka undi kita kurang tetapi di sesetengah tempat ia akan menjadi undi penentu.

“Saya mohon agar semua masyarakat India khususnya di Melaka untuk terus bersama BN kerana BN mempunyai sejarah kepimpinan negara yang baik,” katanya, ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali di kediamannya, hari ini.

Terdahulu, hadir memeriahkan sambutan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari.

Hadir sama, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama barisan Exco kerajaan negeri yang lain.

Shanmugan yang juga EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, mereka yang turun padang untuk berkempen diingatkan agar berkempen dengan betul tanpa memburukkan sesiapa termasuk nama baik negara.

“Yang berkempen, sila kempen dengan betul, jangan salah kempen dengan buruk- burukkan nama Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1816
Kongsi :
Previous post Isu royalti penggiat perfileman perlu dilihat semula – PM
Next post Malaysia mampu hasilkan filem bertaraf antarabangsa
Ubah saiz-+=