Sorting by

×

Penganggur disyaki edar dadah dicekup

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 20 Oktober – Seorang penganggur yang disyaki pengedar dadah dicekup polis bersama hampir sekilogram barang terlarang itu, di tepi jalan di Taman Permatang Pasir Perdana, pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 44 tahun itu dicekup pihak polis kira-kira jam 6 petang, ketika sedang menunggang motosikal.

“Hasil pemeriksaan keatas suspek, polis kemudian menemui sejumlah barang terlarang disyaki dadah jenis Heroin dianggarkan berat lebih 878 gram.

“Malah siasatan lanjut mendapati, suspek aktif menjalankan aktiviti ini sejak awal tahun,” katanya.

3BDC7072-D4BC-449C-A677-D2A35AC51155
Turut dirampas sebuah motosikal. Foto ihsan PDRM

Menurut beliau, selain suspek, pihaknya bersama pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka turut menahan lima lagi lelaki yang turut disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan.

“Kesemua mereka yang berusia antara 33 hingga 50 tahun ditahan dalam beberapa siri tangkapan sekitar daerah Melaka Tengah, antara jam 2 petang hingga 7.15 malam, pada hari sama.

“Selain disyaki dadah jenis heroin turut ditemui bersama suspek adalah syabu yang kesemuanya dianggarkan berjumlah hampir RM35,000,” katanya.

Christopher berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan keatas kesemua enam suspek mendapati mereka positif dadah.

“Malah semakan lanjut dijalankan turut mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

“Selain dadah, pihak polis juga merampas dua buah motosikal dan sebuah kereta,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga 24 Oktober ini, bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (2) dan Seksyen 15(1) (a) akta sama dijalankan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4972
Kongsi :
Previous post Bekalan telur ayam: KPDNHEP jamin mencukupi, tiada kegiatan sorok
Next post Polis Melaka beku cuti 2,572 anggota dan pegawai
Ubah saiz-+=