PRU15: Pengundian pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov
PUTRAJAYA, 20 Okt – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian untuk pengundi Malaysia melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengumumkan tarikh penting itu di sini hari ini, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.
Pelaksanaan pilihan raya itu akan melibatkan 222 kerusi Dewan Rakyat di seluruh negara dan negeri yang telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak yang melibatkan 59 kerusi DUN, Pahang (42) dan Perlis (15).
Turut diadakan serentak adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 5 Nov sehingga pukul 11.59 malam, 18 Nov,” kata Abdul Ghani dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berkaitan urusan pilihan raya berkenaan di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU15 dan PRK DUN N66 Bugaya adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt 2022.
“DPPR bagi PRU15 ini mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih,” katanya.
Daripada jumlah itu, 20,905,366 adalah pengundi biasa, 146,737 anggota tentera serta pasangan, 118,794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Abdul Ghani dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat itu berkata DPPR bagi PRU15 dijadualkan akan mula dijual pada 31 Okt.
Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Semakan boleh dibuat mulai 31 Okt.
Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula 10 Okt untuk PRU15 dan daripada 13 Okt 2022 bagi PRK DUN Bugaya.
Permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C (Agensi/Organisasi) dilaksanakan secara dalam talian (online).
Tarikh tutup permohonan adalah pada 2 Nov bagi kategori A1 (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, polis, tentera, dan petugas media); 23 Okt bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara); dan 26 Okt bagi kategori 1C (agensi/organisasi).
Untuk memudahkan proses penamaan calon, Abdul Ghani menasihatkan bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU15 dan PRK DUN Bugaya agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum hari penamaan calon.
Bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal bagi memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar, katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Okt bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hanya Pahang, Perak dan Perlis akan mengadakan pilihan raya peringkat DUN bersekali dengan Parlimen berikutan langkah ketiga-tiga negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing.
Negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta negeri yang diterajui PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah memutuskan tidak membubarkan DUN.
Negeri-negeri lain sudah mengadakan pilihan raya iaitu Sabah pada September 2020, Melaka (November 2021), Sarawak (Disember 2021) dan Johor (Mac 2022).
PRK DUN Bugaya pula diadakan berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 dan tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah pandemik COVID-19.
Pada 7 Okt lepas, Al-Sultan Abdullah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa 6 Okt lepas.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.