Sultan Nazrin zahir dukacita ‘pelbagai budaya’, ‘kepelbagaian’ dijadikan senjata dalam perang budaya

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

IPOH, 18 Okt – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menzahirkan dukacita dan kegusaran tentang bagaimana perkataan seperti ‘pelbagai budaya’, ‘kepelbagaian’ dan ‘toleransi’ dijadikan senjata dalam perang budaya wacana politik di peringkat antarabangsa hari ini.

“Sebagai seorang yang meyakini kepentingan dan nilai kepelbagaian, maka beta berasa amat dukacita dan sedikit gusar,” titah baginda dalam ucapan diraja pada Persidangan Antarabangsa mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) Keenam 2022 di sini hari ini.

Sultan Perak bertitah perubahan sikap yang mendalam terhadap kepelbagaian budaya merupakan suatu tragedi, bukan sahaja kerana ia menyemai benih-benih perpecahan dalam sesebuah negara, malah kerana masyarakatlah yang akan rugi apabila menolak dan menafikan kepelbagaian budaya.

“Tanpa kepelbagaian budaya, beta percaya dunia akan menjadi semakin miskin. Dengan adanya pelbagai asal usul, pelbagai kepercayaan dan kepelbagaian etnik, begitu banyak yang menguntungkan kita dan begitu banyak yang dapat kita pelajari antara satu sama lain,” titah baginda.

Justeru, golongan yang barangkali mencurigai kepelbagaian, haruslah digalakkan untuk menghargai manfaat besar daripada “seluruh manusia, berkongsi seluruh dunia” (all the people sharing all the world), titah baginda yang memetik lirik lagu ‘Imagine’ oleh John Lennon.

Sultan Nazrin bertitah terdapat beberapa kayu ukur yang dapat mengira, bukan sahaja jumlah pelbagai kumpulan berbeza dalam sesuatu masyarakat atau negara, malah tahap integrasi mereka.

Baginda bertitah Model Stirling menggabungkan ukuran kepelbagaian, keseimbangan dan perbezaan untuk menafsirkan kepelbagaian ekspresi budaya, manakala ahli sains sosial yang lain telah menggunakan ukuran pecahan etnik, linguistik dan agama dalam sesebuah negara untuk menunjukkan bahawa perpecahan etnik adalah kayu ukir yang penting dalam meramalkan prestasi ekonomi.

“Kejayaan integrasi budaya pada peringkat nasional telah dikaji berdasarkan pelbagai kayu ukur, termasuklah akses kepada pasaran buruh, pendidikan, penglibatan politik dan perumahan serta khidmat sosial, menggunakan data daripada kajian penduduk dan bancian,” titah baginda.

Selain angka dan statisik, Sultan Nazrin bertitah baginda percaya semua pihak dapat menghargai manfaat kepelbagaian menerusi kisah-kisah sebenar, pengalaman dan perkongsian pertemuan sesama insan.

“Lebih tujuh abad yang lalu, kerjasama antara insan daripada pelbagai agama berjaya memajukan ilmu pengetahuan manusia dan membawa kepada pembangunan bermanfaat buat sains dan budaya. Inilah sesungguhnya tujuan yang harus dikejar kesemua institusi pendidikan sehingga ke hari ini!” titah baginda.

Sultan Nazrin turut bertitah makanan yang lazat mungkin suatu aspek pertukaran budaya yang paling penting dan menggembirakan.

“Walaupun tiada data yang dapat membuktikan bahawa kualiti makanan sesebuah negara berkadar langsung dengan kepelbagaian budayanya, sesiapa sahaja yang pernah merasai hiruk-pikuk pasar jalanan yang menjual makanan atau menikmati hidangan dengan kawan-kawan, pasti menyedari bahawa inilah satu cara kita berkongsi nilai kemanusiaan kita,” titah baginda.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1269
Kongsi :
Previous post Pembahagian kerusi MCA terserah pimpinan tertinggi BN
Next post MPHTJ terima lesen guna senjata api, tangani isu haiwan liar
Ubah saiz-+=