Sujud syukur, penantian lapan tahun tertunai

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 18 Oktober – “Alhamdulillah, akhir impian saya untuk membawanya tunai umrah tercapai selepas tertangguh sebelum ini,” itu luah Khadijah Padzli, 63.

Warga emas itu meluahkan rasa syukur apabila usahanya sejak lapan tahun lalu menemukan hasil selepas anak angkatnya Muhammad Shaffiq Izudin, 10, akhirnya memiliki sijil kelahiran dan MyKid.

Kata warga emas itu, selepas Muhammad Shaffiq diambil sebagai anak angkat, dia terus mengemukakan permohonan bagi mendapatkan dokumen kelahiran sehinggalah menerima berita gembira pada September lalu.

Katanya, sepanjang proses itu dia dan arwah suami beberapa kali turut ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.

“Akhirnya doa saya termakbul, selepas menerima panggilan mengatakan permohonan diluluskan saya terus sujud syukur.

“Memang diakui ia bukan proses yang mudah tetapi demi masa depan anak, saya usahakan sebaiknya,” katanya.

WhatsApp Image 2022-10-18 at 2.03.57 PM
Khadijah Padzli bersama anak angkatnya Muhammad Shaffiq Izudin

Dia ditemui pada Program Temu Seru JPN Melaka yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Senator Datuk Lim Ban Hong dan Pengarah JPN negeri Norazle Sulaiman, di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, hari ini.

Warga emas itu yang menetap di Kampung Tengah, Klebang berkata, disebabkan tiada dokumen kelahiranm hasratnya bersama arwah suami untuk membawa anak angkatnya itu menunaikan umrah pada 2020 terpaksa dilupakan.

“Walaupun suami sudah tiada, namun Insya-Allah jika ada rezeki saya akan membawanya ke Tanah Suci selain akan tunaikan nazar yang dibuat,” katanya sambil menahan sebak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1379
Kongsi :
Previous post MPHTJ mampu capai PBT lestari pertama di Melaka – Exco
Next post Agong kurnia 284 pingat kepada angkatan tentera, Panglima TUDM terima PGAT
Ubah saiz-+=