Sorting by

×

UMNO Alor Gajah sepakat kekalkan Ismail Sabri sebagai PM ke-10

Masa Membaca:55 Saat

MACHAP JAYA 15 Oktober – Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah sepakat menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-10 jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman berkata, usul dikemukakan dalam mesyuarat hari ini dipersetujui 640 perwakilan adalah sejajar dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Jelasnya, hasrat yang diusulkan itu merupakan kata sepakat bagi menyokong keputusan MKT, selain memastikan perpaduan parti itu sentiasa terpelihara.

“Kami juga mengemukakan usul untuk menyokong siapa sahaja calon yang dinamakan oleh pucuk pimpinan BN bagi kerusi Parlimen Alor Gajah pada PRU-15.

“Apa yang penting UMNO Alor Gajah akan memastikan BN kembali merampas kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU-14 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah yang dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di Machap Baru, di sini, hari ini.

“Saya yakin, BN mampu merampas kembali kerusi Parlimen Alor Gajah pada PRU-15 ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2274
Kongsi :
Previous post 22 penghuni RSKC ceria terima MyKad baharu
Next post Terserah kepada PAS – Ab Rauf
Ubah saiz-+=