Setia hingga hujung nyawa

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

LENDU 15 Oktober – Deepavali disambut ala kadar oleh M Joseph, 43, kerana baginya keperluan isteri R Rajama, 52, menderita akibat angin ahmar selain dua anak perempuan menjadi keutamaannya.

Katanya, selama 14 tahun isterinya menderita akibat kencing manis dan tekanan darah tinggi, namun lima tahun lalu dugaannya semakin berat apabila Rajama diserang angin ahmar menyebabkan wanita itu tidak boleh bergerak hingga terpaksa bergantung kepada kerusi roda bagi urusan harian.

“Sekarang saya tidak ada pekerjaan dan pendapatan tetap. Tetapi sebagai suami dan bapa saya tetap berusaha untuk menyara keluarga dengan melakukan kerja kampung, ambil upah potong rumput atau sebagai pekerja am kontraktor binaan.

“Anak saya yang tua sedang belajar, mujur adiknya berusia 14 tahun sudah boleh diharap, jika saya keluar untuk bekerja dia akan ambil tanggungjawab menjaga ibunya.

“Tetapi sebelum tinggalkan rumah saya akan sediakan makanan, mandikan isteri, pakaikan baju, lampin pakai buang dan keperluannya yang lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Peringkat DUN Lendu 2022 di Dewan Kompleks Japerun Lendu, di sini, hari ini.

Sumbangan kepada penerima disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu.

WhatsApp Image 2022-10-15 at 3.14.05 PM

JOSEPH setia menjaga isterinya kini menderita akibat angin ahmar.

Hadir sama isteri beliau Datin Seri Utama Munira M. Yusop dan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Dia yang tinggal di Pengkalan Balak berkata, selain sukar untuk bergerak akibat angin ahmar, masalah kencing manis turut menjejaskan penglihatan Rajama dan setakat ini mata kanan wanita itu terpaksa dibuang.

“Upah hasil pekerjaan dilakukan tidak menentu, tapi saya berasa lega kerana isteri adalah penerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jadi dapat ringankan sedikit beban saya.

“Sumbangan hari ini juga amat menggembirakan saya, terima kasih kepada pihak yang tidak melupakan kami, semua ini membangkitkan keceriaan yang membantu memeriahkan sambutan Deepavali bagi saya dan keluarga ,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1872
Kongsi :
Previous post Pelumba drag maut ketika perlumbaan
Next post HIJLM rancak kembali ekonomi
Ubah saiz-+=