Sorting by

×

Imigresen serbu premis kecantikan menggaji warga asing

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Jabatan Imigresen menahan lima warga Indonesia termasuk tiga wanita kerana didapati bekerja tanpa dokumen sah di sebuah premis kecantikan di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata mereka yang berusia lingkungan 24 hingga 31 tahun tidak mempunyai sebarang kelayakan kecantikan ditahan menerusi Op Dandan oleh Unit Risikan Operasi dan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran Bahagian Penguatkuasa.

Beliau berkata premis yang diusahakan warga tempatan itu melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan-peraturan Imigresen dan menawarkan perkhidmatan kecantikan wajah dan pemasangan pendakap gigi tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Op Dandan dibuat hasil aduan orang awam pada Februari lepas yang pernah menjadi pelanggan di premis berkenaan sebelum mengalami komplikasi bengkak dan lebam teruk pada bahagian tertentu badannya.

“Risikan mendapati premis tidak beroperasi sehingga Ogos lepas setelah menerima amaran daripada pengadu dan pemantauan berkala juga mendapati premis sentiasa ditutup,” katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen Kuala Lumpur, hari ini.

Syamsul Badrin berkata menerusi maklumat tambahan disalurkan pengadu bulan lepas, ia kembali beroperasi di bangunan sama namun di tingkat dan lot berbeza.

“Sebelum itu, pengusaha berkenaan dipercayai membuat perkhidmatan dari rumah ke rumah dengan tawaran harga murah iaitu sekitar RM100 hingga RM150 dengan menyasarkan rakyat tempatan dan warga asing.

“Hasil penyamaran, beberapa janji temu dibuat melalui WhatsApp pengadu dan semalam ia telah ditetapkan sebelum serbuan dibuat,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di premis baharu itu berjaya merampas peralatan dan kelengkapan rawatan kecantikan wajah secara suntikan dan pemasangan pendakap gigi dan veener.

“Kes akan disemak semula dengan KKM untuk tindakan lanjut dan majikan dikenakan tindakan atas kesalahan menggajikan warga asing. Kesemua tangkapan ditempatkan di Depoh Imigresen Bukit Jalil,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1838
Kongsi :
Previous post Khairy sedia cadangan kesihatan untuk pertimbangan BN dalam manifesto
Next post Polis mohon bantuan kesan Akilashini, Ain Roshariza
Ubah saiz-+=