Sorting by

×

Mangsa bencana Tanjung Bidara dapat perhatian MAIWP

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Oktober – Meskipun sudah hampir dua bulan berlalu, mangsa terjejas akibat kejadian ribut dan banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menerima bantuan tambahan yang disampaikan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, setiap mangsa menerima agihan antara RM5,000 hingga RM10,000 mengikut jenis kerosakan kediaman masing-masing.

Ab Rauf yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, sumbangan itu bertujuan untuk meringankan lagi beban ditanggung semua mangsa bencana berkenaan.

“Sebelum ini kerosakan kediaman akibat bencana sudah dibaiki sepenuhnya dengan kos sebanyak RM300,000. Selain itu mangsa juga menerima bantuan tunai segera RM500 dan kelengkapan lain pada hari kejadian.

“Alhamdulillah kini MAIWP pula tampil untuk meringankan lagi beban mangsa dengan menyampaikan bantuan keseluruhan berjumlah RM450,000,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa pada Majlis Penyampaian Sumbangan DUN Tanjung Bidara di Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Katanya, nasib mangsa mendapat perhatian ramai pihak khususnya daripada agensi dan Jabatan Kerajaan Negeri Melaka yang terus tampil menyalurkan bantuan.

Menurutnya, mengikut pecahan penerima membabitkan 60 mangsa ribut manakala 10 orang lagi terjejas akibat banjir.

“Saya melihat sumbangan ini adalah nilai perjuangan membina kestabilan membuahkan hasil khusus membabitkan DUN Tanjung Bidara. Terima kasih saya ucapakan kepada semua penderma dan penyumbang,” katanya.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi, 10 Ogos lalu puluhan kediaman di DUN Tanjung Bidara mengalami kerosakan termasuk paa bahagian bumbung, namun bencana tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Antara penempatan terjejas adalah Kampung Pasir Gembur, Kampung Ayer Hitam Darat dan Kampung Ayer Hitam Pantai, kerja membaiki kerosakan dijalankan pada hari sama menerusi bantuan agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3775
Kongsi :
Previous post Perzim, UTM berkolaborasi pulihara bangunan sejarah Melaka
Next post Pencarian ‘harta karun’ Pulau Nangka tamat hujung bulan ini
Ubah saiz-+=