Sorting by

×

Pelajar cemerlang Sekolah Henry Gurney tangguh hasrat ke menara gading demi adik-adik

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TELOK MAS 5 Oktober – Niat di hati mahu menyambung pengajian di peringkat tertinggi, namun demi adik-adik, pelajar cemerlang Sekolah Henry Gurney Telok Mas Muhammad Hafizan Mohd Nordin, 19 terpaksa menangguhkan hasrat itu.

Ia selepas bapanya yang sebelum ini menyara keluarga sebagai pemandu bas di Kuala Lumpur jatuh sakit akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, tugas menyara keluarga kini digalasnya demi memastikan kebajikan adik-adik berusia 5, 10 dan 14 tahun yang masih bersekolah, terbela.

“Ikutkan saya akan mendaftar diri pada hari ini, tetapi atas faktor keadaan ayah selain ekonomi yang tidak stabil saya tangguhkan dahulu untuk sambung pengajian.

“Sebagai anak sulung, saya perlu cari kerja, bantu ayah menyara adik-adik dan selepas keadaan stabil barulah saya fikirkan soal menyambung pengajian.

“Saya percaya semua yang berlaku ini pasti ada hikmah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney 2021 di Dewan Parameswara Sekolah Henry Gurney Telok Mas, hari ini.

photo1664955167
Penerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2021 Sekolah Henry Gurney, Muhammad Hafizan Mohd Nordin ditemui sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney 2021 di Sekolah Henry Gurney Telok Mas. Foto Iqmal Haqim Rosman

Muhammad Hafizan merupakan antara 13 pelajar cemerlang Sekolah Henry Gurney selepas meraih 5A, 1B dan 1C pada peperiksaan SPM 2021.

Menurut anak kelahiran Segamat yang kini menetap di Kuala Lumpur, dia mula terjebak dengan ‘dunia gelap’ ketika berada di Tingkatan 3.

Akibat silap langkah dalam hidup, dia didakwa atas kesalahan samun berkumpulan dan dimasukkan ke sekolah itu pada September 2019.

“Mula-mula masuk memang saya sedih sangat kerana terpaksa hidup berdikari dan jauh daripada keluarga dan rakan-rakan.

“Detik yang mengubah diri saya ialah apabila kehilangan ibu yang meninggal dunia akibat COVID-19. Pada waktu itu, lima hari saya tidak makan dan berfikir tentang nasib sendiri.

“Ketika itulah saya nekad untuk mengubah hidup dan fikir ke depan demi adik-adik dan alhamdulillah saya dapat apa yang saya mahukan,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi seorang pegawai polis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9392
Kongsi :
Previous post APM latih 1.7 juta individu persediaan awal hadapi bencana
Next post Isu kesesakan di penjara semakin terkawal
Ubah saiz-+=