Sorting by

×

Intip burung, mana tahu dapat hadiah

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BATU BERENDAM 5 Oktober – Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka, menganjurkan pertandingan fotografi bagi memeriahkan lagi Program Memerhati Burung (Bird Watching) @ Taman Mutiara, Batu Berendam.

Pertandingan dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dan Hotel 906 Premier Melaka.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata pertandingan tersebut bertemakan ‘Selamat dan Lindungi Habitat Burung’ itu bermula dari 7 Oktober hingga 7 November depan.

Katanya, hadiah utama akan diberikan kepada tiga peserta bernilai RM 1,500 tunai untuk setiap pemenang dan lima hadiah saguhati bernilai RM 500 tunai untuk setiap peserta.

“Lokasi rakaman gambar haruslah sekitar tanah lapang berhadapan Hotel 906 Premier. Syarat dan terma pertandingan akan dimaklumkan kepada individu yang ingin mengambil bahagian, mereka boleh ke Hotel 906 Premier atau layari laman utama BPP.

“Objektif pertandingan ini adalah membolehkan orang awam mengenali spesis burung migrasi di Taman Mutiara, Batu Berendam selain menikmati kecantikan dan keunikan setiap burung yang singgah di kawasan tersebut.

“Memupuk dan memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memulihara dan melindungi habitat burung-burung, menjadi daya tarikan pelancongan untuk memerhati burung serta aktiviti fotografi burung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Memerhati Burung @ Taman Mutiara di sini, semalam yang turut dihadiri Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Mohd Firrdhaus Mahmood.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1922
Kongsi :
Previous post Pulau Besar ‘gelanggang’ dakwah
Next post Taman Mutiara Habitat Burung Hijrah
Ubah saiz-+=