Sorting by

×

Taman Mutiara Habitat Burung Hijrah

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BATU BERENDAM 5 Oktober – Kawasan paya dan mempunyai elemen air antara faktor utama kawasan semak di Taman Mutiara, menjadi tempat persinggahan burung migrasi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, burung hijrah atau ‘water bird’ itu kebiasaannya akan memilih lokasi di pesisir pantai atau kawasan tadahan air untuk berlindung.

Katanya, kebiasaan burung-burung hijrah itu yang terkesan dengan perubahan persekitaran akan berhijrah ke kawasan lain.

“Kami akan membuat kawalan kerana burung-burung ini adalah spesis yang dilindungi dan di peringkat awal ini kami harap Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan dapat menyokong usaha untuk menjadikan lokasi ini sebagai pusat konservasi.

“Hasil pemantauan, kami dapati penduduk tempatan kurang berminat dan kebiasaan yang memburu burung ini adalah orang luar.

“Jadi, mungkin diperingkat jawatankuasa yang akan ditubuhkan nanti antara Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Majlis Bandaraya Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Perhilitan sendiri kami akan berbincang untuk meletakkan papan tanda,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui media di kawasan Memerhati Burung di Taman Mutiara, di sini, semalam yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

WhatsApp Image 2022-10-04 at 7.53.40 PM
MOHD Firrdhaus Mahmood.

Mengulas lanjut, Mohd Firrdhaus berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang memburu, menyimpan, atau mengambil hidupan liar yang dilindungi mengikut Akta Konservasi Hidupan Liar 2010.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya tindakan lebih tegas juga boleh diambil mengikut Seksyen 68(1) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3191
Kongsi :
Previous post Intip burung, mana tahu dapat hadiah
Next post Peniaga harap harga minyak masak terus turun
Ubah saiz-+=