Sorting by

×

Pulau Besar ‘gelanggang’ dakwah

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TELOK MAS, 5 Oktober – Pulau Besar yang cukup sinonim dengan panggilan ‘Pulau Keramat’ kini menjadi kawasan pelancongan baharu dengan potensinya sebagai pusat penyebaran dakwah.

Mufti Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, pihaknya menyokong usaha bagi menghidupkan kawasan itu sebagai hab pelancongan agama selari dengan subsektor pelancongan ke-14 asalkan ia tidak menyimpang daripada fahaman agama Islam.

Menurutnya, bagi menjayakan hasrat itu, pelbagai kemudahan perlu ditambah baik khususnya infrastruktur berkaitan keagamaan seperti surau dan tempat bermusyawarah.

“Pulau Besar ada kubur Sultan Al-Ariffin yang merupakan antara pendakwah penting dalam menyebarkan agama Islam, malah meneroka tempat ini sebagai pusat perkembangan dakwah alam Melayu.

“Jadi memang relevan jika dikatakan sebagai pusat penyebaran Islam sejak dahulu lagi. Justeru, saya lihat ada keperluan untuk menambah baik kawasan beribadat di sini, sekali gus dapat mengimarahkan aktiviti keagamaan.

“Saya yakin pihak berkenaan boleh memikirkan langkah-langkah seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pondok keselamatan, tempat rehat untuk pengunjung, kerja-kerja penebangan pokok dan pembersihan seperti yang sedang dilakukan kini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas lawatannya ke Pulau Besar yang turut dihadiri Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Haji Abdul Rahman Osman, semalam.

photo_6188148142768239078_y
PEMANDANGAN di pesisiran pantai menjadi tempat riadah pengunjung yang datang di Pulau Besar, Melaka. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pulau tersebut memiliki keunikan tersendiri daripada aspek sejarahnya untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran ilmu dan bukannya dipalitkan dengan unsur kepercayaan karut.

“Pulau ini sangat cantik dan antara pulau yang setanding Pulau Tioman. Apabila dikatakan ada tahfiz akan dibuka semula di tempat ini saya amat bersetuju kerana inilah masanya kita mengubah pemikiran masyarakat yang terus mengatakan ini tempat pemujaan.

“Syabas kepada Jabatan Mufti Negeri Melaka yang bersungguh-sungguh menjaga tempat ini. Kalau dijaga sebaiknya, tempat ini akan menjadi lokasi menyebarkan dakwah, meningkatkan ketaqwaan, seterusnya menjadi pulau kebanggaan pelancongan untuk umat Islam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4775
Kongsi :
Previous post MPAG dan media Melaka eratkan hubungan menerusi boling
Next post Intip burung, mana tahu dapat hadiah
Ubah saiz-+=