Pertahanan negara ‘insurans’ pelaburan kerajaan hadapi situasi VUCA – TLDM
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Pertahanan negara perlu dikukuhkan bagi menghadapi situasi keselamatan dunia yang dinamik dan sentiasa berubah, dalam masa singkat serta sukar diramal seperti berlaku di beberapa negara luar baru-baru ini.
Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata situasi tersebut yang dikenali sebagai VUCA (pergolakan, ketidakpastian, kompleks, kekaburan/kesamaran).
“Seperti kita semua tahu, sempadan maritim negara berhadapan dengan isu tuntutan bertindih, pencerobohan perairan oleh kapal atau bot asing, serta kegiatan pelanunan dan rompakan di laut.
“Aktiviti itu boleh mengganggu gugat aktiviti ekonomi maritim sekali gus menjejaskan keamanan perairan maritim negara, dan menuntut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi tindak balas sewajarnya bagi mengatasi ancaman tersebut,” katanya pada Wawancara Khas bersama media sempena Sambutan Hari Ulang Tahun PASKAL Ke-40.
Katanya, sektor pertahanan adalah ‘insurans’ dan kerajaan harus melakukan pelaburan pertahanan supaya apabila berlaku perkara yang tidak diingini, negara mampu bertahan daripada ancaman dan impak kepada risiko keselamatan negara dan rakyat adalah minimum.
Mohd Reza turut menyuarakan kerisauannya mengenai aset Angkatan Tentera Malaysia terutamanya TLDM yang usang, dengan bajet selenggaraan aset sedia ada sentiasa terhad bagi mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau berkata, TLDM sebelum ini pernah memiliki 16 buah kapal perang pelbagai saiz, namun bilangan ini berkurangan dengan signifikan, apabila majoriti kapal itu hilang keupayaan kombatan akibat faktor keusangan peralatan dan sistem persenjataan.
“Penggantian kepada kapal-kapal ini dirancang melalui perolehan kapal tempur pesisir (LCS), namun kelewatan projek LCS ini telah menjejaskan perancangan TLDM…keperluan perolehan kapal-kapal kombatan (perang) tambahan perlu turut diberi perhatian serius oleh kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun Mohd Reza berkata meskipun berdepan dengan cabaran dan ancaman itu, beliau menegaskan TLDM tetap fokus dengan misinya, iaitu mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan maritim negara.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.