Mazvin bukti wanita hebat, bawa nama Melaka di Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2022

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 2 Oktober – Pendidikan perlu menjadi tunjang utama wanita bagi mencapai kejayaan dan melakar masa depan yang gemilang.

Itulah pegangan Wanita Ikon Melaka 2022, Mazvin Jaharbardeen, 40, yang menyifatkan pendidikan sebagai saham penting untuk mengubah nasib wanita, di samping mampu melahirkan modal insan yang saling melengkapi di dunia ini.

Mazvin yang juga merupakan Ketua Eksekutif Kolej Cosmopoint Melaka berkata, berkecimpung selama 18 tahun dalam bidang pendidikan telah banyak mengajarnya erti kemanusiaan dalam memakmurkan sesebuah komuniti dan masyarakat.

“Sejak berumur 12 tahun saya telah mula mengajar kelas tuisyen yang saya anjurkan sendiri untuk menampung perbelanjaan sekolah sehinggalah ke sekolah menengah demi memastikan ilmu yang berkualiti dapat dimanfaat oleh golongan yang berusia bawah pada saya ketika itu.

“Saya berpendapat walaupun pendidikan itu bersifat informal sekali pun wanita perlu mempelajarinya kerana sekurang-kurangnya mereka mampu mengecapi sedikit ilmu yang mampu mengubah mereka.

“Dalam hidup ini kita perlu jadi seorang yang bermanfaat kepada semua orang, perlu saling melengkapi,tidak perlu pentingkan diri dan ambil secara positif dalam apa jua keadaaan,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Mazvin yang aktif dalam bidang sukarelawan dan kemanusiaan sering melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan terutama membantu menyelesaikan isu wanita dan golongan orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini.

IMG_20221002_021240_999
MAZVIN

Misinya, tidak lain dan tidak bukan demi mengangkat martabat wanita berilmu pada masa akan datang.

“Selain sukarelawan, saya akan menumpukan beberapa kelas percuma kepada wanita bagi mendedahkan mereka dengan pendidikan kemahiran, perniagaan dan penggunaan komputer untuk memastikan mereka tidak ketinggalan.

“Malah, kita cuba untuk memastikan wanita di negeri ini cekal dan bijak dalam menangani masalah kesihatan mental yang dilihat sangat mengejutkan berlaku dalam kalangan wanita pada hari ini.

“Perkara ini perlu diambil perhatian seluruh pelusuk masyarakat bahawa wanita itu merupakan ikon di dalam keluarga kita dan mereka perlu memartabatkan peranan wanita itu sendiri,” luahnya.

Untuk rekod, Mazvin merupakan satu-satunya penerima Anugerah Wanita Ikon Melaka 2022, selain turut tersenarai sebagai 10 finalis yang akan bergelar Wanita Ikon Malaysia 2022.

Sebanyak 242 pencalonan diterima sejak pencarian peringkat negeri bermula Mac lalu dan 73 calon berjaya pada peringkat saringan pertama dan seterusnya 42 calon terpilih ke peringkat akhir Anugerah Wanita Ikon Negeri.

Daripada jumlah itu, hanya 10 pemenang Wanita Ikon Negeri terpilih bakal bergelar penerima Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2022 yang akan diumumkan pada 20 Oktober depan.

Sebanyak 50 peratus markah pencalonan akan dihitung menerusi penjurian oleh juri terpilih manakala selebihnya memerlukan undian orang ramai untuk mengundi bakal penerima anugerah ini.

Orang ramai terutama anak jati negeri ini diseru memberi sokongan kepada Mazvin dengan mengundi beliau di https://kelabwanitaikon.com/awim-melaka atau mengimbas pada kod QR yang tertera.

IMG-20221002-WA0003
IMBAS kod QR untuk mengundi Mazvin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4729
Kongsi :
Previous post Legasi Nyonya Tan juara dondang sayang Melaka
Next post Sukan luar bandar promosi kawasan pelancongan Melaka – KM
Ubah saiz-+=