Legasi Nyonya Tan juara dondang sayang Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 2 Oktober – Dua beradik yang juga merupakan anak Tokoh Seni Dondang Sayang, Nyonya Tan Abdullah dinobatkan sebagai Juara Seni Warisan Dondang Sayang Negeri Melaka.

Dikenali sebagai kumpulan Legasi Nyonya Tan, Hairul Asraf Abu Hussain dan Hidayu Murni Abu Hussain berjaya membawa pulang wang tunai RM6,000 beserta trofi pada pertandingan akhir yang berlangsung di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Melaka, malam tadi.

Menurut Hairul Asraf, mereka dua beradik berhasrat untuk meneruskan perjuangan arwah ibu mereka dan membawa seni warisan itu ke peringkat antarabangsa.

“Saya tidak pernah menyangka latihan yang kebanyakannya dijalankan secara dalam talian bersama adik mampu memberikan kemenangan kepada kami.

“Adik saya menetap di Kuala Lumpur jadi kami kerap berlatih dalam talian sahaja sejak sebulan lalu dan akhirnya ia membuahkan hasil untuk mengangkat nama kami dalam pertandingan ini,” katanya ketika ditemui pemberita

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

IMG-20221002-WA0002
BARISAN pemenang pada pertandingan akhir yang berlangsung di Kompleks JKKN Melaka.

Sementara itu, menurut Hidayu Murni, meskipun terikat dengan tugas hakiki sebagai pensyarah di Kuala Lumpur, alunan lagu dondang sayang itu sudah sebati dalam diri.

“Kemenangan ini adalah permulaan kami dalam usaha meneruskan perjuangan arwah ibu kami iaitu Allahyarhamah Nyonya Tan Abdullah yang merupakan ikon dondang sayang Melaka.

“Impian kami adalah untuk melestarikan lagi seni dondang sayang ini dipersada dunia dan yang paling penting skali adalah untuk berkongsi ilmu yang dicurahkan ibu kami untuk disalurkan kepada generasi muda supaya seni ini akan terus berkembang dan menjadi jati diri pada anak-anak muda kita,” katanya.

Pertandingan akhir itu menyaksikan seramai empat pasangan bertanding bagi merebut kejuaraan.

Tempat kedua menjadi milik Ear Mon yang dibarisi Hamir Haziq Haminorddin dan Siti Nadia Zaini; ketiga milik Detaq (Yasser Fikri Abu dan Shaidatul Nadira Shaharum) dan Nada Irama yang dibarisi Syaimaa Salleh dan Norsharfarina Mohd Fami terpaksa berpuas hati di tempat keempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5143
Kongsi :
Previous post KKM akan tambah baik insentif kesihatan kepada penderma darah – Khairy
Next post Mazvin bukti wanita hebat, bawa nama Melaka di Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2022
Ubah saiz-+=