Dirempuh motosikal lari ‘road block’, penghantar makanan terima RM20,866.41

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 30 September – Hikmah mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seorang penghantar makanan yang terlibat kemalangan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu menerima RM20,866.41.

Amaun itu diterima Muhammad Alif Firdaus A Rahim, 31, menerusi Faedah Hilang Upaya Kekal Perkeso akibat kemalangan yang berlaku di Jalan Hang Tuah, April tahun lalu.

Menurut Alif, sewaktu kejadian itu, dia sedang dalam perjalanan untuk mengambil pesanan pelanggan sebelum bertembung dengan penunggang motosikal yang cuba lari daripada sekatan jalan raya.

Impak kemalangan itu menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala dan tangan, selain turut hilang ingatan sementara.

Dia yang terlantar dan tidak dapat keluar bekerja selama lima bulan bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana kesedarannya mencarum sejak menjadi penghantar makanan membantunya dan keluarga ketika berdepan dugaan itu.

“Kemalangan itu memang memberi kesan kepada saya kerana kini saya hilang upaya di pergelangan tangan kanan. Hendak menulis pun susah, apatah lagi mengangkat beban berat.

“Saya bersyukur kerana dari April hingga Oktober walaupun tidak dapat keluar bekerja, faedah harian Perkeso sangat membantu saya dan keluarga.

“Kini, saya menerima pula Faedah Hilang Upaya Kekal untuk meneruskan kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui pada Program Perkeso Mendekati Media dan Inisiatif SPS Padanan Caruman di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Penyampaian replika cek Faedah Hilang Upaya Kekal itu telah disampaikan Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem dan turut dihadiri Pengarah Perkeso Negeri Melaka Abd Razak Omar.

Dalam pada itu, Muhammad Alif yang masih mencari rezeki sebagai penghantar makanan menyeru rakan-rakan ‘rider’ khususnya di negeri ini agar segera mencarum dengan Perkeso demi perlindungan.

“Kalau boleh saya mahu semua ‘rider-rider’ di luar sana mencarum kerana kerja kita berdepan risiko terutama di atas jalan raya.

“Kadang-kadang, kita tidak salah, tetapi kita tetap boleh jadi mangsa. Jadi lebih baik jika kita ada perlindungan untuk diri kita dan keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2883
Kongsi :
Previous post ‘Mangsa’ hilang di gunung, rupanya tidak wujud
Next post Mayat wanita mangsa culik ditemukan dalam gaung
Ubah saiz-+=