Sorting by

×

20,000 pekerja sambilan di Melaka belum mencarum Perkeso

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDA HILIR 27 September – Dianggarkan kira-kira 20,000 pekerja sambilan di negeri ini masih belum mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKPS).

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata, jumlah itu membabitkan pekerja sambilan dalam pelbagai sektor termasuklah penjaja, penghantar makanan, pekerja keagamaan, seni dan lain-lain.

Menurutnya, data setakat Ogos 2022 menunjukkan hanya terdapat 8,907 pekerja sambilan yang sudah mencarum dengan SKPS sekali gus menunjukkan angka itu masih di tahap yang rendah.

“Kita dapat melihat masih ramai belum mendaftar sedangkan dianggarkan ada lebih 28,000 pekerja sambilan di negeri ini.

“Jadi, kita minta sangat mereka ini mendaftar secepat mungkin kerana terdapat banyak faedah boleh diterima mereka antaranya faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara dan kekal, faedah orang tanggungan dan lain-lain.

“Fokus utama kita ketika ini ialah kepada penjaja yang dilihat masih kurang kesedaran terhadap skim yang disediakan Perkeso dan pada masa sama, kita juga menyasarkan 100 peratus penghantar makanan di negeri ini mencarum dengan skim berkenaan memandangkan mereka adalah antara individu yang terdedah dengan risiko,” katanya.

photo1664273629
HEE SEM

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program Perkeso Mendekati Media di sebuah hotel, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar.

Pada program itu, seramai 30 pengamal media sambilan di negeri ini menerima tajaan skim SKPS daripada Hee Sem dan kerajaan.

Kesemua pengamal media itu menerima skim faedah setahun berjumlah RM232 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM6,984.

Menurut Hee Sem, tajaan itu diberikan memandangkan pengamal media merupakan antara petugas barisan hadapan yang turut terdedah dengan risiko bahaya ketika keluar membuat liputan.

“Seperti mana kita tahu, media memainkan peranan besar dalam menyebar maklumat dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan.

“Atas dasar itu, saya tampil memberikan penghargaan ini kepada media bagi memastikan mereka dilindungi ketika keluar membuat liputan berita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2416
Kongsi :
Previous post Perpustakaan Melaka bergerak seiring IR 4.0 untuk kekal relevan
Next post Pesta Buku Melaka tawar pelbagai buku mampu milik
Ubah saiz-+=