Potensi khazanah alam Rim
RIM 22 September – Walaupun dikategorikan sebagai kawasan luar bandar, namun siapa sangka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim sebenarnya kaya dengan ekosistem alam semula jadi.
Keunikan dan kekayaan khazanah alam itu menjadikan kawasan ini berbeza dengan 27 DUN lain di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, selepas diberikan mandat menjadi untuk menjadi pemimpin DUN berkenaan, fokus utama beliau adalah memastikan kehijauan sedia ada di kawasan Rim tidak diganggu.
Menurutnya, ia termasuklah untuk mengangkat Rim menjadi sebuah kawasan bertaraf antarabangsa yang mempunyai pembudayaan yang sihat, indah, selesa dan selamat didiami penduduk setempat.
“Saya mahukan satu pentadbiran lebih baik yang mana ia bertaraf lebih tinggi dan mengamal budaya sihat, mempunyai kelestarian dan selesa.
“DUN ini tidak perlukan bangunan cakar langit yang boleh merosakkan ekosistem, kerana kita mungkin duduk kampung, tetapi kita ada pemikiran kelas pertama di sini,” katanya.
BINA TIGA MENARA KOMUNIKASI BAHARU
Bagi menjamin penduduk DUN Rim mendapat capaian akses internet yang lebih pantas, Khaidhirah dalam usaha untuk membina tiga lagi menara komunikasi baharu.
“Insya-Allah dalam tempoh enam bulan ini untuk saya akan pastikan pelaksanaan untuk membina satu lagi menara di Chinchin dapat dilaksanakan lebih cepat.
“Alhamdulillah peruntukan sudah masuk dalam bajet, ia sedang dilaksanakan cuma kita mahu percepatkan proses pembinaan, jika tiada halangan mungkin awal tahun hadapan siap.
“Manakala dua lagi menara akan dibina di Kesang dan Bukit Katong, dengan adanya menara ini ia memudahkan penduduk DUN Rim mendapatkan akses internet lebih pantas.
“Penduduk juga dapat menjalankan perniagaan dalam talian lebih mudah hanya dari rumah dan pelajar lebih mudah untuk menyiapkan tugasan diberi serta memudahkan peserta untuk menyerti kursus pendek atau ceramah dalam talian,” katanya.
TREK KELAPA SAWIT TARIKAN PENGUNJUNG
Selain itu, beliau yang mesra dengan panggilan Dira berkata, sebuah trek off-road dalam ladang kelapa sawit di Simpang Bekoh akan dimajukan untuk menjadi produk eko pelancongan baharu di Rim.
Menurutnya, trek baharu itu berupaya menarik kedatangan peminat sukan lasak ke Rim.
Jelasnya, ia juga berpotensi untuk dimajukan memandangkan kawasan itu menghubungkan Simpang Bekoh dan Asahan selain berdekatan dengan Tangkak, Johor.
“Terdapat tiga jenis trek disediakan iaitu trek pemula (beginner), pertengahan (intermediate) dan mencabar (advanced) yang menguji kepakaran setiap peminat motor atau basikal lasak.
“Menariknya setiap peserta boleh merasai suasana alam semula jadi yang mencabar di dalam kelapa sawit selain menguji ketangkasan mereka mengendali kenderaan mereka.
“Trek tersebut diuruskan oleh penduduk setempat dan terdapat juga beberapa gerai jualan disediakan buat pengunjung yang datang khususnya pada hujung minggu,” katanya.
BAIK PULIH MEDAN SELERA
Dalam pada itu, Dira yang juga Timbalan Speaker DUN berkata, pihaknya bercadang untuk membaik pulih medan selera di Stadium Jasin bagi membantu ekonomi peniaga di kawasan itu.
Menurutnya, lebih RM1 juta peruntukan telah dimohon kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk kerja-kerja membaik pulih medan selera itu bagi menepati citarasa pengunjung.
“Kita nak tambah baik satu lagi medan selera di stadium, ada lima gerai peniaga yang sudah lama tidak dicantikkan, jadi kita mahukan wajah baharu dengan konsep yang baharu.
“Peniaga yang lama kita kekalkan, cumanya mereka kena lebih kreatif dalam menyediakan menu supaya lebih ramai pelanggan yang akan datang ke gerai mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Khaidhirah berkata pihaknya turut membina lima kafe hipster untuk memberikan kelainan kepada peniaga di DUN berkenaan.
“Pembinaan kafe hipster sudah 70 peratus dan ia dijangka siap dalam masa terdekat, hanya ada lima gerai disediakan dengan konsep lebih segar dan baharu.
“Kita cuba berikan kelaian supaya kafe ini dapat menjadi contoh kepada peniaga gerai yang lain untuk mencantikkan gerai mereka.
“Pada masa sama kafe hispter ini juga mampu menjadi pemangkin kepada penduduk setempat untuk menjana pendapatan mereka selain menarik kedatangan pengunjung dari Negeri Sembilan dan Johor,” katanya.
BIODATA:
Nama: Datuk Khaidhirah Abu Zahar
Umur: 38
Karier:-
– Ahli Dewan Undangan Negeri Rim (2021-kini)
– Pengarah Jalinan Nasional O & Research Sdn Bhd
– Pengarah Urusan Hyper Pictures Sdn Bhd
Pendidikan:-
– Sarjana Muda Undang-Undang
Politik:-
– Ketua Penerangan Puteri UMNO Melaka
– Ketua Puteri UMNO Bahagian Jasin
– Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
– Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
INFO DUN RIM:-
Jumlah pengundi – 17,239
Melayu – 11,474
Cina – 3,287
India – 2,329
Lain-lain – 149
KAWASAN PERUMAHAN:-
Kampung – 17
Taman Perumahan – 23
Balai raya – 15
Dewan – 6
RUMAH IBADAT:-
Masjid – 10
Surau – 21
Tokong – 3
Kuil – 6
Gereja – 1
PENDIDIKAN:-
Sekolah Kebangsaan – 7
Sekolah Menengah – 4
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina – 6
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil – 1
Sekolah Rendah Agama JAIM – 8
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.