Banda Hilir saksi upacara simbolik tandatangan Watikah Pengisytiharan Malaysia Edisi ke-12
MELAKA, 16 September – Buku Watikah Pengisytiharan Malaysia yang menjadi simbolik sambutan Hari Malaysia, buat julung kali ditandatangani di Semenanjung pada sambutan edisi tahun ini.
Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, di sini, malam ini, menjadi saksi upacara simbolik menandatangani watikah itu yang ditandatangani wakil kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Kerajaan Persekutuan diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan.
Majlis itu disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, di hadapan ribuan ahli Keluarga Malaysia.
Terdahulu pada awal upacara itu, buku tersebut dibawa ke pentas utama oleh empat etnik yang mewakili masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak selain diiringi Keluarga Malaysia pelbagai kaum.
Upacara itu adalah acara tradisi setiap kali sambutan Hari Malaysia sebagai simbolik dan memperingati sejarah pembentukan Malaysia hasil gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 Sept 1963.
Buku watikah itu diperkenalkan sejak 2010 dan mengandungi kompilasi watikah yang ditandatangani wakil kerajaan Persekutuan, Sabah serta Sarawak pada edisi sambutan Hari Malaysia terdahulu dan buku itu disimpan di Jabatan Arkib Negeri Sabah.
Kompilasi dokumentasi bertulis itu sebagai simbolik memperingati dan mengenang sejarah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara.
Uniknya, kulit buku catatan rasmi perayaan Hari Malaysia itu dihiasi dan dibaluti tenunan bermotifkan corak etnik tempatan Sarawak, Sabah dan Semenanjung yang disaluti emas selain disimpan rapi dalam kotak khas seberat hampir 25 kilogram yang diperbuat daripada kayu jati.
Watikah Pemasyhuran Malaysia yang pertama ditandatangani Perdana Menteri pertama dan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada 16 Sept 1963 dalam bahasa Malaysia dengan tulisan jawi serta bahasa Inggeris.
Watikah Pemasyhuran Malaysia adalah dokumentasi penting mengenai pembentukan Malaysia antaranya menyatakan Malaysia kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan selain sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan.
Watikah pertama itu yang diperbuat daripada kulit kambing bersaiz 70 sentimeter (sm) panjang dan 50sm lebar yang kini disimpan di Arkib Negara.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.