MBMB proaktif tangani sampah, vandalisme pada Sambutan Hari Malaysia 2022
MELAKA, 15 September – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil beberapa langkah proaktif dalam memastikan tiada kerosakan landskap atau vandalisme berlaku di sekitar Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, lokasi sambutan Hari Malaysia 2022 malam esok.
Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata pihaknya mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Dataran Merdeka, terutama kerugian yang dialami oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos lepas.
“Kami menugaskan lebih 120 penguat kuasa MBMB bagi memantau serta memberi garis panduan kepada pengunjung sepanjang berlangsungnya majlis tersebut.
“Malah berbeza dengan sambutan di Dataran Merdeka, hiasan sambutan di sini hanya menumpukan hiasan pada pentas utama dan khemah orang kenamaan” katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagaimanapun, beliau realistik dan tidak menolak kemungkinan berlakunya pembuangan sampah, kerosakan dan vandalisme memandangkan jangkaan pengunjung lebih 10,000 orang pada sambutan malam esok, kapasiti berganda daripada majlis-majlis yang dianjurkan sebelum ini.
Justeru, Zainal berkata tiga akses utama ke lokasi sambutan itu iaitu jalan masuk melalui Hotel Equatorial, Bangunan Merah dan Dataran Pahlawan dikekalkan dengan hiasan termasuk pokok sedia ada bagi meminimumkan kerosakan yang dijangka berlaku.
“Seperti di Dataran Pahlawan, memang kita kosongkan tanpa sebarang hiasan kerana kita mahu pengunjung memberi tumpuan pada perjalanan majlis melalui skrin gergasi yang disediakan,” katanya.
Beliau juga berharap pengunjung tempatan sentiasa menjaga imej negara memandangkan sambutan yang diadakan di kawasan terbuka itu juga akan dihadiri pelancong asing.
“Jadi kita ingatkan pengunjung terutama masyarakat Melaka agar berdisiplin dan sentiasa ingat mereka telah memasuki sebuah negeri maju. Jadi mestilah bermentaliti negeri maju yang ada peraturan bersabit dengan kebersihan,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.