Wanita dipenjara 80 bulan tipu jual barangan elektrik tidak wujud
JOHOR BAHRU, 13 September – Seorang wanita yang sedang menjalani hukuman penjara kerana menipu, hari ini dihukum penjara berjumlah 80 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menipu berhubung penjualan barangan elektrik yang tidak wujud.
Majistret R.Salini menjatuhkan hukuman penjara 12, 14, 16, 18, dan 20 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Nurul Yasmin Rosli, 33, dan memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 7 Sept 2021.
Ini bermakna wanita itu yang merupakan ibu kepada bayi berusia tujuh bulan itu, hanya perlu menjalani hukuman penjara 20 bulan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Nurul Yasmin didakwa dengan curang menipu lima individu, sehingga mendorong mereka membuat bayaran bagi pembelian barangan elektrik pelbagai jenama ke akaun Hong Leong Bank atas nama Melati Zainol, iaitu ibu tertuduh berjumlah RM5,235 namun tertuduh gagal menyerahkan barang tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar daerah Johor Bahru dari 16 Feb 2021 hingga 25 Jun 2021, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kesemua mangsa diperdaya selepas menghubungi nombor WhatsApp yang tertera di laman Instagram ‘Beauty Saranghae’ sebelum membuat tempahan dan pembayaran, namun mereka tidak menerima sebarang barangan seperti ditawarkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 13 Sept tahun lepas, tertuduh dan ibunya, Melati, 55, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor atas beberapa pertuduhan menipu berhubung penjualan barang elektrik dan perkakas dapur yang tidak wujud melibatkan kerugian berjumlah RM41,645.
Pada 13 Ogos 2019 pula, Nurul Yasmin didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, atas empat pertuduhan menipu pakej umrah membabitkan kerugian sebanyak RM12,000 pada 2012 dan 2013.
Tertuduh kini menjalani hukuman penjara di Penjara Wanita Kajang, Selangor bagi pertuduhan menipu di Mahkamah Majistret Shah Alam.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.