Sorting by

×

LTAM sibuk semula selepas tiga tahun

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BATU BERENDAM 12 September – Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) kembali sibuk dengan ketibaan dan pelepasan penerbangan domestik serta antarabangsa selepas tiga tahun ditutup akibat pandemik COVID-19.

Pesawat Batik Air membawa 38 penumpang dari Pulau Pinang menjadi penerbangan pertama mendarat di LTAM pada jam 11.30 pagi tadi.

Seterusnya, pesawat sama melakukan penerbangan dari LTAM ke Pekanbaru, Indonesia dengan membawa 50 penumpang termasuk Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Muhammad Jailani berkata, Kerajaan Negeri berbincang dengan pelbagai pihak diperingkat pusat dan antarabangsa bagi memastikan LTAM beroperasi semula selepas pintu sempadan negara dibuka 1 April lalu.

photo1662960570
EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis bergambar bersama krew penerbangan di balai ketibaan sempena Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Pesawat Batik Air ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam. Turut hadir bersama Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir, Datuk Rahmad Mariman. Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, pembukaan LTAM dianggap penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan tempatan dengan kemasukan lebih ramai pelawat.

“Hari ini dalam sejarah, setelah hampir tiga tahun, LTAM menerima pendaratan penerbangan domestik dan pelepasan penerbangan antarabangsa. Ini adalah hasil perancangan dua negara dan kerjasama ini hanya memakan masa empat bulan untuk direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pelancong pertama dari Pulau Pinang di LTAM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri, Sa’ari Basiron; Pengurus Besar Kanan Strategi, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Pengarah Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Kerajaan Batik Air.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata Melaka akan meneroka pasaran baharu bagi menarik lebih ramai pelancong dari India dan Brunei dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pelancong Asia Timur seperti China, Taiwan selain Jepun.

“Selepas ini sasaran terbaharu kita akan menarik lebih ramai pelancong dari India dan seterusnya Brunei,” katanya.

Tambahnya, setakat Jun lalu, Melaka merekodkan kemasukan pelancong seramai 2.4 juta, meningkat 200 peratus berbanding tempoh sama 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

11548
Kongsi :
Previous post Kebergantungan Melaka terhadap pekerja asing adalah rendah – Ab Rauf
Next post Melaka cari sukarelawan ‘house call’ bantu asnaf
Ubah saiz-+=