Muhammad Suffian Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan
KUALA LUMPUR 10 September – Deklamator Negeri Melaka Muhammad Suffian Khirham muncul juara pada Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SPDK) 2022 yang diadakan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.
Muhammad Suffian yang mendeklamasikan puisi ‘Idaman Taman Indera Bestari’ karya Awang Ali Kemaman menewaskan 16 peserta lain dalam pertandingan tersebut.
Ketika dihubungi, Muhammad Suffian memaklumkan, dia langsung tidak meletakkan sasaran untuk menjadi juara, namun berharap berada di tempat ketiga dan kemenangan itu adalah rezeki yang memihak dirinya tahun ini.
“Saya membuat persiapan rapi untuk bertanding ke peringkat akhir dan berlatih sehabis baik bagi mendapatkan ‘mood’ bacaan.
“Langsung tidak meletakkan sasaran untuk menjadi juara, paling tidak cuma berharap ada rezeki di tempat ketiga, namun rezeki yang memihak pada tahun ini amat saya syukuri,” katanya.
Berkongsi resepi kejayaan, dia memanfaatkan hubungan baik dengan deklamator kebangsaan antaranya Norliza Yamin, Aflieza Arshad, Kamarudin Bakar dan Shahrul Mubarak Ahmad untuk meningkatkan kualiti persembahan.
“Mereka banyak memberi panduan dan sokongan setiap kali saya menyertai pertandingan pengucapan awam termasuk deklamasi puisi dan pidato,” katanya yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Sains Mikrobiologi di Universiti Malaya (UM).
Menerusi kemenangan tersebut, Suffian membawa pulang Piala Pusingan Tun Ghafar Baba, wang tunai RM5,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan, sementara itu tempat kedua pula dimenangi oleh Zaheera Ibrahim dari Negeri Kedah, dengan sajak ‘Jangan Gendang Bertingkah Lagi’ karya Ab Rani Embi.
Manakala deklamator mewakili Negeri Perak, Noor Azli Sudin berjaya meraih tempat ketiga menerusi sajak ‘Dirgahayu Tanah Air’ karya Mohd Khatim Othman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.