Ibu reda anak ‘pergi’ pada hari jadi
KOTA TINGGI, 9 September – Ibu kepada remaja perempuan yang lemas ketika mandi di pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar di sini pagi tadi, reda dengan pemergian anaknya walaupun tragedi itu berlaku pada tarikh hari lahirnya.
Radiah Rahmad, 42 berkata dia sedih dan tidak menyangka akan melalui pengalaman ‘pahit’ kehilangan Nurish Qhalisya Suhailizam, 13, yang merupakan anak ke enam daripada tujuh beradik, namun perlu menerima ketentuan Ilahi.
“Ini hari jadi saya yang saya akan ingat sampai mati. Saya sedih sangat, ingatkan saya yang mati dulu. Hari jadi saya hari ini, hari jadi dia pula 22 Sept nanti. Dia ada minta hadiah, tetapi dia kata kalau mak tak dapat bagi tak apa, nanti kawan-kawan dia boleh bagi.
“Saya reda dan terima ketentuan ini. Dia pergi pada hari Jumaat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Radiah berkata hubungan dia dengan Nurish Qhalisya sangat rapat apatah lagi setiap malam anaknya yang mempunyai sakit sawan itu tidur dengannya, malah sempat menggunting rambut anaknya itu semalam.
Menurutnya lagi dia telah memberi keizinan kepada anaknya untuk ke Tanjung Balau dan sempat berpesan supaya tidak mandi pantai kerana dia tidak pandai berenang.
“Saya sempat mengejutkan dia pukul 5 pagi tadi dan melihat dia kelam-kabut bersiap untuk keluar. Dia minta izin nak ke Tanjung Balau bersama kawan-kawan sebab bosan duduk di rumah. Saya pesan jangan mandi dan dia kata dia pergi nak bergambar sahaja, sebab itu saya izinkan,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Suhailizam Mohd Onir, 47, berkata dia mula berasa tidak sedap hati apabila Nurish Qhalisya tidak menjawab bila mahu pulang ketika menghantar anaknya itu ke rumah kawannya kira-kira pukul 7.30 pagi
“Saya tanya balik macam mana, pukul berapa. Dia cuma jawab ‘tak tahu lagi balik’. Masa dia cakap macam itu rasa tak sedap hati, baharu nak rehat kat rumah, isteri dapat berita macam ini,” katanya.
Dalam kejadian pagi tadi, sekumpulan enam rakan ke pantai berkenaan untuk beriadah dan mandi-manda di kawasan berhampiran.
Nurish Qhalisya disahkan lemas, manakala dua beradik, Mohd Asyraf Syazwan Mohd Fairuz, 7, dan Nur Azrin Syazwani, 13, dilaporkan kritikal dan kini di bawah pemantauan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kota Tinggi.
Sementara itu, Siti Alesya Qistina Mustafa, Siti Nur Alysya Abdullah dan Nur Zurin Hafeeza Mohd Azhari masing-masing berusia 13 tahun dilaporkan selamat.
–BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.