Sorting by

×

Mahalnya harga keamanan – Panglima 21 GGK

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

SUNGAI UDANG 3 September – Bendera ‘Union Jack’ diturunkan dan bebas daripada cengkaman British selama 65 tahun bukanlah ‘tiket’ untuk mendabik dada, sebaliknya nilai kemerdekaan ini perlu dihayati sepanjang masa.

Begitulah erti sebuah kemerdekaan daripada sudut pandang Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim yang berkhidmat hampir 40 tahun.

Bukan semata-mata bentuk leksikon sambutan Hari Kebangsaan saban tahun, katanya, masyarakat seharusnya memainkan peranan tersendiri dalam menjaga maruah negara daripada diragut gerakan ‘serampang dua mata’.

“Menerapkan semangat kemerdekaan ini perlu dilatih daripada bangku sekolah lagi kerana mereka perlu tahu betapa mahalnya harga sebuah keamanan dan ketenangan di Malaysia tidak seperti di negara lain.

“Kalau dihuraikan erti kemerdekaan bukanlah penjajahan fizikal semata-mata tetapi ia termasuklah rakyat bebas memilih dan bebas berfikir. Namun ada batasan yang perlu kita jaga jika tidak mahu negara kembali diceroboh kuasa asing,” katanya dalam sesi wawancara khas bersama Melaka Hari Ini (MHI).

photo1662001383 (1)
MEJAR Jeneral Nubli Hashim

 

Tambah Nubli, beliau juga amat sedih apabila kedaulatan negara dilihat seakan-akan dicemari oleh ‘tangan-tangan’ yang sanggup bersekongkol dengan pendatang asing.

“Kami (ATM) penat lelah menjaga keselamatan negara ini tetapi ada rakyat kita sendiri di sempadan sanggup menjadi duri dalam daging membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke dalam negara kita.

“Ini satu cabaran buat kita kerana kerana PATI ini dikhuatiri akan menimbulkan masalah kepada kita. Tolonglah jangan jadi ‘tekong’ dan orang perantaraan ini,” tambahnya.

Mengulas mengenai ancaman penjajahan alaf baharu, Nubli mengakui cabaran ketika ini bertambah kritikal tanpa persediaan yang rapi.

photo1662001383 (3)
BERET hijau dengan lambang harimau disarung di kepala menjadi kebanggaan setiap warga GGK. Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, bagi 21 GGK, peranan bukan hanya tertumpu kepada mendapatkan maklumat risikan, sebaliknya mereka juga adalah pasukan penggempur tatkala negara berhadapan krisis.

“Cabaran 21 GGK adalah kita kena menyediakan sumber manusia berdaya saing tinggi di samping itu kita perlu mengadakan peralatan kelengkapan yang seiring dengan teknologi semasa.

“Jadi antara yang perlu kita beri penekanan adalah peralatan untuk meningkatkan keupayaan mobiliti perairan, kelengkapan meningkatkan kuasa tembakan dan juga menambah baik mobiliti udara ketika ini.

“Anggota dan ahli yang lulus sebagai dalam rejimen Gerak Khas kena perkasakan diri seterusnya perkasakan organisasi masing-masing kerana kita berhadapan dengan ledakan teknologi yang sebenarnya salah satu bentuk ancaman jika tidak dikawal sebaiknya,” katanya.

Mejar Jeneral Nubli Hashim mendapat pentauliahan daripada Maktab Tentera Diraja pada tahun 1981 sebelum berkhidmat dalam 21 GGK pada 1984 sehingga kini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4378
Kongsi :
Previous post Beli rumah Parkland, berpeluang menang kereta mewah
Next post Toh Puan Asmah galak wanita kekal aktif
Ubah saiz-+=